Oleh Rudy Imran Shamsudin

Bagi lelaki, hidup lebih sempurna apabila ditemukan dan menikahi wanita dicintai. Lebih membahagiakan, dalam melayari bahtera rumah tangga, mereka dikurniakan cahaya mata.

Kehidupan baru dilalui pelakon Beego atau Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 34, kini bersama Linda Hashim sungguh membahagiakan, ditambah pula kelahiran Jelita Clarissa, sembilan bulan, menjadikan kebahagiaan berganda.

Bayi comel dan keletah itu menjadi penyeri dan pengikat kasih Beego dan Linda. Ditemui baru-baru ini, Beego yang hadir di majlis pelancaran drama Keluarga Karaoke bersama Linda dan Jelita mengakui hidup dilalui kini lebih bermakna dan berasakan sudah lengkap.

Bagaimanapun, katanya, sebagai suami dan ketua keluarga, tidak dinafikan dalam waktu sama timbul kerisauan memandangkan tanggungjawab semakin besar.

"Kerisauan yang selalu timbul dalam hati ialah, mampukah saya menyara keluarga? Dalam hidup, saya selalu bersikap realistik memandangkan bidang lakonan ada jatuh bangun dan pasang surutnya.

"Saya selalu memikirkan sampai bila mampu bertahan atau diperlukan dalam kerjaya seni memandang-kan industri bergerak terlalu pantas dan setiap masa ada saja wajah baru muncul.

"Disebabkan itu saya sentiasa bersikap terbuka dan cuba mencari jaringan untuk memulakan perniagaan. Mungkin dalam situasi sekarang ia lebih mudah dilaksanakan kerana nama saya masih kukuh dalam dunia lakonan," katanya.

Kata Beego, dia kini harus memikirkan cara lain untuk menambah pendapatan demi kesejahteraan hidup keluarganya.

"Sekarang saya harus melakukan dua atau tiga kerja dalam satu masa. Pada saya, biar penat tetapi masa depan Linda dan Jelita terjamin," katanya.

Sejak kehadiran Jelita, Beego dan Linda tiada masalah membahagikan masa menjaga anak dan kerja. Malah, kata Beego, sebaik kandungan Linda masuk lima bulan, dia tidak lagi berlakon hinggalah sekarang.

"Cuma baru-baru ini kami mencuba cara menguruskan Jelita apabila kami berdua keluar bekerja. Kebetulan Linda mendapat tawaran membintangi drama Anak Kelima.

"Waktu itu kami meminta ahli keluarga membantu menjaganya dan setakat ini tiada masalah," katanya.

Mengenai alternatif mengambil pengasuh, Beego akui Jelita masih kecil dan mereka tidak berani menyerahkannya kepada pengasuh atau orang gaji.

Tambah pula apabila kebelakangan ini banyak cerita kurang enak didengar membabitkan anak didera pengasuh sehingga meragut nyawa.

"Memang menakutkan mendengar cerita yang selalu dipaparkan di media massa hingga timbul kebimbangan untuk menyerahkan Jelita kepada pengasuh atau orang luar.

"Pada saya, apapun berlaku, biar Jelita berada dalam jagaan ahli keluarga kerana mereka lebih faham dan tahu melayan kerenah anak saya," katanya.

Beego yang mula dikenali sebagai penyanyi bersama kumpulan Phyne Ballerz berkata, mereka ada perancangan untuk kembali bersatu dan tampil dengan single terbaru.

Kumpulan yang popular sekitar akhir 1990-an itu pernah bernaung di bawah syarikat rakaman KRU Music. Ia turut dianggotai Meor Zulkarnain Mohd Zamhuri atau Nine, Sheikh Ahmad Rabily Sheikh Abdul Rahman (Billy) dan Abdul Munir Awang (Munir).

Kata Beego, mereka sudah membincangkan perkara ini dan Nine sibuk menghasilkan beberapa lagu yang dianggap sesuai.

"Saya menyambut baik perancangan mereka, cuma pada saya untuk membuat kemunculan kembali, lagu yang ditampilkan harus betul-betul menarik.

"Sekarang pendengar semakin bijak. Pada mereka, lagu kalau sedap, sekali dengar sudah mampu menarik perhatian. Ada juga muzik dihasilkan, dengar dua tiga kali baru menangkap di pendengaran telinga.

"Namun kalau 10 kali dengar tidak menarik di hati, bermakna lagu itu memang tidak bagus. Saya mengharapkan usaha bakal dilakukan ini diterima baik peminat," katanya.

Sementara itu lakonan terbaru Beego, Keluarga Karaoke bakal bersiaran setiap Rabu, jam 10 malam menerusi Mustika HD.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Februari 2015 @ 5:02 AM