INDAH harap lagu Pudar dapat memberi manfaat dan pemahaman yang baik buat pendengar. FOTO Arkib NSTP
INDAH harap lagu Pudar dapat memberi manfaat dan pemahaman yang baik buat pendengar. FOTO Arkib NSTP
Ardini Sophia Sina


PENYANYI Indah Ruhaila berharap lagu baharunya berjudul Pudar tidak hanya diterima baik oleh peminat seni tetapi turut memahami mesej yang tersirat dalam lagu berkenaan.

Hampir dua tahun menyepi tanpa sebarang karya baharu, Indah yang pernah popular dengan lagu Percaya juga terharu dengan reaksi positif semua pihak.

“Alhamdulillah, ternyata tidak silap taruhan saya kali ini. Saya bersyukur kerana ‘berjodoh’ dengan lagu ini. Pertama kali mendengar Pudar, saya cukup terusik dengan melodi dan liriknya.

“Harapnya nyanyian saya berjaya menterjemahkan mesej lagu ini dengan baik. Sekiranya ada yang menyatakan nyanyian saya berjaya menyentuh hati mereka, alhamdulillah,” katanya.

Pudar turut diangkat sebagai antara lagu tema utama melatari drama Nur 2, sebuah karya sekuel pada rantaian Nur yang pernah mencetuskan fenomena pada tahun lalu apabila mencapai ‘rating’ tertinggi iaitu sebanyak 13 juta tontonan di TV3.

“Sebenarnya, lagu ini pernah ditawarkan kepada saya untuk dimuatkan dalam runut bunyi drama Nur edisi pertama. Tetapi, atas sebab kesihatan dan jadual tidak mengizinkan, saya terpaksa menolak.

“Namun, sudah tertulis memang rezeki saya untuk mendendangkan lagu ini. Semoga lagu ini dapat memberi manfaat dan pemahaman yang baik dalam seharian mendengar naskhah ini,” katanya.

Malam ini, Indah bakal tampil dalam sebuah persembahan akustik disiarkan secara langsung menerusi saluran YouTube Nova Music Videos pada jam 8 malam.

Penonton bakal disajikan dengan persembahan akustik istimewa lima lagu diselangi dengan sesi soal jawab bersamanya.

Video muzik rasmi Pudar pula bakal dilancarkan tepat jam 9 malam ini dan boleh ditonton menerusi saluran YouTube Nova Music Videos.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 8:32 PM