RUHAINIES. FOTO Arkib NSTP
RUHAINIES. FOTO Arkib NSTP
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon, Ruhainies menafikan bahawa dirinya adalah artis yang didakwa menjalankan aktiviti penggubahan wang haram atau 'cuci duit' seperti mana yang 'dipetik' oleh beberapa pihak sebelum ini.

Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 31, berkata, sekiranya sesuatu dakwaan itu dibuat, biarlah ia secara jelas dan terang kerana dakwaan berbentuk pembayang akan memalit nama orang yang tidak terbabit.

"Sebenarnya, ada yang DM (mesej di Instagram) dan bertanya, sama ada individu itu adalah saya atau bukan. Alhamdulillah, bukan saya.

"Kalau nak bagi 'hint' (pembayang), janganlah setakat 'hint'. Bagi terus nama, sebab orang lain yang tak terbabit pun, akan dikaitkan juga. "Jadi, kalau nak tulis nama, tulis terus terang," katanya kepada Harian Metro.

Tambahnya, hanya kerana pembayang 'artis gebu', namanya menjadi sasaran netizen.

"Bila dikata gebu, bukan ramai sangat yang gebu. Jadi, contohnya, ada 10 orang gebu. Maka, orang akan jadikan 10 orang ini sebagai sasaran dan tak pasal-pasal, terpalit juga," katanya.

Bagaimanapun, sebagai seorang yang bekerja keras dan hidup dengan hasil usahanya, Ruhainies mengakui bahawa dirinya tidak dapat mengelak sebarang tuduhan daripada netizen.

"Sejujurnya, orang pun tahu bagaimana keras saya bekerja dan masih ada di dalam industri. Kalau ada tuduhan apa-apa, saya tak dapat nak elak.

"Tapi, netizen sekarang pun hebat-hebat. Kalau mereka siasat, mesti mereka akan dapat jawapan. Kalau saya ada buat, mereka mesti tahu dan tak boleh lari sebab Malaysia ini kecil sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2023 @ 2:19 PM