Norhayati Nordin

 

Kuala Lumpur: Pelakon dan usahawan popular, Nur Fazura, 40, menyifatkan dakwaan dia masih berhibur di kelab malam oleh netizen di media sosial sebagai satu tuduhan berat.

Ia berikutan, pelakon filem Gol & Gincu itu dikatakan masuk ke kelab malam di Indonesia dengan mengenakan hoodie dan topi bersama beberapa rakan ketika berkunjung di negara itu sebagaimana tular di media sosial.

Fazura ditemui berkata, dirinya memang berhibur dan sebagai manusia biasa dia juga masih dalam proses memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.

"Dakwaan ke kelab malam itu cukup berat. Saya tak nak komen panjang, cakap pasal orang pun tak nak. Cuma, saya memang tak pernah sebelum ini mengakui saya yang terpaling solehah. 

"Tak ada kenyataan sebelum ini pun yang pernah saya katakan, ya saya terpaling solehah. Saya mengaji setiap hari, saya solat setiap hari dan saya pamerkan pada semua orang.

"Memang saya tak pernah keluarkan kenyataan itu, saya yang terpaling solehah, tidak pernah. Setiap hari, saya mencuba untuk jadi lebih baik dan kekal istiqamah," katanya kepada Harian Metro.

Fazura ditemui media selepas majlis Ngopi Bersama Fazura di sebuah hotel dekat ibu kota, di sini, hari ini.

Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin berkata, dia seorang yang suka berhibur dan menari untuk meredakan tekanan kerja.

"Kadang-kadang saya pergi karaoke juga dan makan bersama rakan-rakan. Sekarang pun, banyak juga restoran yang gelap dan pasang muzik.

"Namun, walaupun kita berhibur tapi, tetap ingat Allah juga. Tak semestinya berhibur sampai lupa diri kerana saya pun tahu batas diri saya.

"Apapun, saya tak pernah kacau orang. Saya hanya fokus pada kerja, kehidupan, suami, dan keluarga. Tapi, saya tak faham kenapa masih ada pihak yang ingin provokasi. Cukup-cukuplah," katanya.

Fazura berkata, dia juga tidak pernah merancang untuk jatuhkan orang lain demi menaikkan nama serta kerjayanya sendiri, namun tertanya-tanya kenapa namanya sering menjadi sasaran.

Mengenai karier lakonannya, Fazura kembali berlakon dalam drama Lelaki Itu terbitan Erma Fatima selepas enam tahun berehat dan  disiarkan di slot Akasia TV3 pada Ramadan tahun depan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 9:18 PM