Pelakon Fattah Amin. Foto Rohanis Shukri
Pelakon Fattah Amin. Foto Rohanis Shukri
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Pelakon Fattah Amin, 33, mengingatkan bakat baharu industri seni agar menjaga imej, nama dan sikap sekiranya mahu bertahan lama serta mudah mendapat peluang kerja daripada produksi.

Fattah ditemui berkata, sebagai penggiat baharu sememangnya menjaga imej, nama dan sikap itu harus 'ekstra lebih' agar tidak memberi ruang kepada orang lain berkata yang tidak bagus mengenai diri kita.

"Kalau sejak mula dah tak pandai jaga imej, nama dan sikap, orang akan bercakap pada kalangan pekerja produksi, peminat dan media. Jadi, kita juga yang rugi sebab mestilah nak bertahan lama dalam karier seni.

"Saya pun dulu pernah dikenali sebagai bakat baharu. Habis belajar di universiti, masuk Hero Remaja dan ada rezeki jadi pelakon. Tapi, saya jadi pelakon masa itu bukan nak popular, hanya untuk kerja cari rezeki bantu keluarga," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Fattah hadir menemani dan memberi sokongan kepada isterinya juga pelakon popular, Fazura pada majlis Ngopi Bersama Fazura di sebuah hotel ternama di ibu kota, baru-baru ini.

Menurut pelakon filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan ini, ilmu dan bakat harus seiring walaupun ada pelakon yang sudah dianugerahkan Allah dengan bakat semula jadi dan ada juga perlu belajar daripada pengalaman ditimba.

"Macam Bront Palarae dan Beto Kusyairy, mereka pada saya pelakon yang 'gifted' (berbakat). Tapi, saya pula bukan macam itu dan kena belajar daripada pengalaman. Apapun, jangan cepat mengalah kalau dikritik.

"Mendapat kritikan orang itu perkara biasa, tapi jangan cepat rasa putus asa. Teruskan belajar dan buat persediaan untuk diri sendiri. Kalau ada persediaan sebelum jadi artis, orang akan lagi hormat kita," katanya.

Ditanya pandangannya terhadap bakat kebanyakan pelakon baharu sekarang, Fattah berkata, ramai yang berbakat dan ada potensi masing-masing untuk terus memajukan diri.

"Cuma, saya ingatkan kena pandai jaga imej, nama dan sikap agar sentiasa merendah diri dengan semua orang dan tidak sombong. Ia penting sebab industri kita ini kecil," ujarnya.

Fattah yang banyak membintangi filem berkata, dia kini turut aktif dibelakang tabir sebagai penerbit dan pengarah video kempen iklan di bawah produksi Fazura Pictures miliknya dan isteri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 1:17 PM