Azri Iskandar, ketika majlis pengebumian Allahyarham Badrul Muhayat di Masjid Al-Hidayah, Sentul Pasar, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Azri Iskandar, ketika majlis pengebumian Allahyarham Badrul Muhayat di Masjid Al-Hidayah, Sentul Pasar, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Tiada lagi ucapan Hari Raya dan ayat-ayat manis selepas ini daripada Badrul Muhayat!

Inilah kehilangan dirasakan oleh pelakon Azri Iskandar dan bekas isterinya, Ellie Suriaty selepas kematian pelakon berkenaan semalam.

Kedua-duanya yang hadir secara berasingan untuk penghormatan terakhir buat Allahyarham di Masjid Al-Hidayah, Sentul, berkata, mereka sangat terkejut dengan berita pemergian Allahyarham Badrul, namun reda di atas ketentuan Ilahi.

"Saya terkejut sebab sepatutnya saya telefon dia dalam sehari dua ini sebab nak bertanya mengenai rumah yang dia dapat daripada Persatuan Seniman Malaysia (Seniman). Dengarnya dia tak tinggal situ dan saya bercadang nak duduk.

"Saya pun tak nak ganggu dia yang berniaga di karnival. Tapi pagi semalam dapat berita dia sudah tiada, saya terperanjat. Saya tahu dia ada kencing manis tapi sudah sembuh.

"Tapi Allah sudah mahu ambil nyawa dan dia pergi pun dengan tenang, tiada terlantar di hospital dan sebagainya. Dia kawan yang tak pernah melupakan saya, setiap kali perayaan dia ada menghubungi saya ucapkan Selamat Hari Raya.

"Dia seorang kawan yang berbudi bahasa. Dia juga seorang kawan yang baik. Setiap kali dia keluarkan produk juga dia datang ke rumah saya misalnya dia menjual jus buah dan sambal," katanya.

Menurutnya, Badrul pernah tidur dirumahnya semasa masih bersama Ellie dulu apabila 'shooting' habis lambat.

"Jadi rasa macam satu kehilangan yang besar, sebab selama ini saya ada kawan yang sebaya, tapi dia sudah pergi dulu, saya reda dan terima hakikat.

"Dia kerap tanya peluang berlakon dan saya cadangkan kepada isteri saya ketika itu untuk bagi dia peluang kerana dia seorang yang mudah memberi kerjasama.

"Biarpun sibuk dengan bisnes, dia tetap berlakon dek minat yang mendalam dalam lakonan," katanya.

Sementara itu, Ellie menyifatkan Badrul seorang yang sangat baik, manis dan senang bekerjasama.

"Kami ada bincang fasal projek akan datang yang mana kami mahu bekerjasama lagi, tapi sudah masa dia, tiada rezeki kami, kita tak boleh nak kata apa.

"Kami bekerjasama dalam Tulus Cinta, waktu itu dia baru naik dari Johor Bahru dan menetap di Kuala Lumpur, jadi senang kami mahu bekerjasama.

"Selepas dia menetap di sini banyak tawaran yang dia terima. Dia adalah senior saya dalam bidang seni, saya sangat menghargai persahabatan dia dan dia orang yang akan sentiasa bertanya khabar.

"Dia sangat baik dan dia juga boleh buat saja, dan mendengar arahan sebab dia pun mengarah. Dia pelakon yang sangat profesional dan senang memberi kerjasama," katanya yang sedih kerana usia Allahyarham dianggap masih muda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2023 @ 11:56 AM