Ridzuan Abdul Rahman


Sentul: "Kami jumpa semula Januari lalu semasa berlakon drama episod Bintang. Dia nampak sihat sahaja waktu itu. 

"Kami berbual panjang imbau semula memori lalu dan bercerita tentang perkembangan terkini. Kami mengikuti sesama sendiri menerusi media sosial dan jarang jumpa.

"Kejadian ini sangat mengejutkan saya kerana saya tahu dia okey. Apapun ajalnya dah sampai". 

Demikian kata pelakon Azhar Sulaiman mengulas berkenaan kematian Badrul Muhayat ketika ditemui di Masjid Al-Hidayah disini, pagi ini. 

Azhar, 52, berkata, mereka mula berkawan sejak 1990-an selepas dia menyambung pelajaran di UiTM Shah Alam.

"Di situlah saya kenal Badrul Muhayat dan dari situ kami terlibat dalam bidang iklan TV, drama akhirnya dapat berlakon dalam sebuah filem Riang Tirana sebagai filem pertama kami. 

"Dia watak utama dan saya sebagai pembantu. Selepas itu kami rapat sehinggalah kami masing-masing berkahwin dan kami mula bawa haluan masing-masing.

"Saya, Esma Daniel, mendiang Acappan dan arwah Badrul sama-sama bermula waktu itu. Sekarang tinggal saya dan Esma sahaja," katanya. 

Azhar berkata, pemergian rakan-rakan artis sedikit sebanyak membuatnya suspen dan gusar. 

"Mana tahu esok, lusa mungkin giliran saya pula. Jadi saya cuba bersedia untuk menjawab soalan-soalan kubur selepas ini. 

"Namun ajal kalau dah sampai masanya, tak cepat sesaat mahupun lewat sesaat. 

"Saya doakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan  tempatkan dia bersama orang yang beriman," katanya. 

Terdahulu, Badrul Muhayat Ahmad Jailani, 55, meninggal dunia ketika tidur di sebuah homestay di Taman Pauh Jaya, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, pagi semalam.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2023 @ 10:26 AM