Ella ketika majlis pengiktirafan kesihatan hormon wanita hebat Skyhill Clinic di The Colony Eco City, Bangsar. FOTO ROHANIS SHUKRI
Ella ketika majlis pengiktirafan kesihatan hormon wanita hebat Skyhill Clinic di The Colony Eco City, Bangsar. FOTO ROHANIS SHUKRI
Ridzuan Abdul Rahman


 

Kuala Lumpur: Penyanyi bergelar Ratu Rock, Ella menjelaskan dirinya tenang menerima hakikat peningkatan usia yang perlu dilalui oleh setiap individu. 

Ella atau Norzila Aminuddin, 57, turut berkongsi keadaannya kini sedang melalui fasa pre-menopaus dan meminta agar semua wanita seusianya menyedari kepentingan menjaga kesihatan hormon.

Menurutnya, setiap orang perlu mendedahkan keadaan terkini kesihatannya dan tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana mempunyai penyelesaian dalam perkara ini. 

"Saya tenang, ia tak mengganggu apa-apa pun sebenarnya. Ada kawan saya yang berusia 44 tahun tapi dah menopaus. Jadi kalau kita dapat tahu awal, mungkin boleh membantu.

"Peranan suami juga penting kerana seperti situasi Azhar yang ajak saya jumpa kenalan kami selepas saya mengadu rasa panas dan mudah marah," katanya ditemui pada majlis pengiktirafan dirinya atas komitmen dalam menyebarluaskan kepentingan kesihatan hormon oleh Skyhill Clinic, hari ini.

Menurutnya, dia mulanya mengalami perasaan yang tidak selesa pada suatu ketika dan mengadu perkara ini kepada suaminya, Azhar Husaini Ghazali. 

Azhar pula kemudian memperkenalkan  Ella kepada Dr Linda Mat Hassin. 

"Waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dia banyak berkongsi fasal kesihatan menerusi online. 

"Kemudian selepas daripada itu saya bawa Ella buat pemeriksaan penuh. Sebelum itu saya buat pemeriksaan bacaan darah dan mendapati bacaan darahnya tinggi. 

"Dr Linda pun terkejut ketika itu. Kemudian kami belajar sedikit sebanyak tentang hormon dan selepas dengar penjelasan doktor, terus kami mulakan rawatan," katanya. 

Tambah Ella pula, dia awalnya tidak mengetahui kepentingan hormon untuk kestabilan emosi terutama bagi wanita yang menuju ke fasa putus haid.

"Saya hanya tahu bacaan darah berada pada tahap serius. Situasi kurang menyenangkan saya alami ketika kita dalam fasa pandemik 2021. Waktu itu berat badan lebih 60 kilogram berbanding 48 kilogram ke 50 kilogram.

"Apabila bertemu doktor, saya terkejut bacaan darah mencecah 190. Baru saya tahu darah saya tinggi, hormon tidak menentu yang menjejaskan kualiti kehidupan saya.

"Saya seperti nyaris dibawa ambulans kerana bacaan terlalu tinggi. Sedangkan selama ini saya tak tahu pun ada hidap apa-apa penyakit," katanya.

Sementara itu, Dr Linda berkata, proses ke arah penuaan perlu dinikmati dengan mengamalkan penjagaan kesihatan terutama mengambil tahu berkaitan hormon diri.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 7:35 PM