SOPHIA Albarakbah (kiri) dan Siti Khadijah. FOTO Ahmad Ukasyah & Eizairi Shamsudin
SOPHIA Albarakbah (kiri) dan Siti Khadijah. FOTO Ahmad Ukasyah & Eizairi Shamsudin
Minda Ranggong

Kuala Lumpur: Ketika pelakon kontroversi, Sophia Albarakbah didakwa dipulaukan rakan dalam industri hiburan berikutan isu penyondol, pelakon, Siti Khadijah tampilkan mempertahankan dan menafikan tuduhan itu.

Siti yang pernah bergandingan dengan Sophia menerusi drama From Saga With Love juga menafikan Sophia adalah 'kera sumbang' dan menjelaskan Sophia adalah seorang yang disayangi.

"Saya tak suka jawab soalan yang mengatakan kawan saya seperti kera sumbang. Di lokasi penggambaran, dia ibarat permata yang berharga. Kami semua sayang dia. Tiada isu dan masalah yang ditimbulkan di set penggambaran," katanya.

Siti berkata, dia tidak akan memulaukan sesiapa dan dia sangat gembira bekerjasama dengan Sophia.

"Saya pernah dipulaukan dan saya faham perasaan itu. Saya tidak akan buat benda yang sama terhadap orang lain. Saya gembira drama itu mempertemukan kami.

"Saya dapat mengenali dia lebih dalam tidak seperti orang lain. Sebagai kawan, saya nak cakap yang dia adalah orang baik, bukan kera sumbang dan dipulaukan," katanya.

Siti berkata, Sophia juga memberi inspirasi kepadanya sebagai seorang wanita.

"Dia mengajak saya buat benda yang baik. Dia mengajar saya untuk jadi lebih sopan. Apabila bersama dia, saya automatik jadi lebih lembut, memahami dan sifat kewanitaan saya lebih terserlah," katanya.

Sebelum ini, muncul dakwaan mengatakan Sophia dipulaukan rakan artis lain di set penggambaran.

Bagaimanapun, pelakon filem Mimaland itu menafikan dakwaan itu dan mengakui kurang bersosial kerana terlalu pendiam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 3:57 PM