VIDEO muzik Datuk Seri Siti Nurhaliza berkonsepkan 'one-taker'.
VIDEO muzik Datuk Seri Siti Nurhaliza berkonsepkan 'one-taker'.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Datuk Seri Siti Nurhaliza, 41, berkongsi pengalaman pertama menjalani penggambaran video muzik lagu Kuasa Cintamu secara 'one take shot' atau 'one taker' di mana dia perlu menukar pakaian dalam masa 11 saat sahaja.

Siti berkata, dia perlu memakai dua lapis pakaian lengkap dengan anak tudung atau 'inner' berbeza dengan dua lapis pakaian kerana penukaran ini perlu dibuat dalam masa yang cukup singkat.

"Semestinya ada cabaran tetapi apa yang penting adalah pengalaman. 'One taker' ini kalau ada babak yang tidak okay, sama ada pelakon, pemuzik, kamera 'shot' atau saya sendiri, penggambaran akan diulang dari mula. 

"Kadang-kadang pelakon dah okay, kamera pula tak stabil atau goyang atau terlepas di mana-mana bahagian. Malah ada ketika saya lupa lirik, salah 'miming' dan sebagainya," katanya.

Menurut Siti, konsep 'one taker' itu bukan mudah apatah lagi video muzik itu membabitkan anaknya, Siti Aafiyah.

"Ini pengalaman kedua Aafiyah muncul dalam video muzik kerana sewaktu lagu Comel Pipi Merah, penggambaran dibuat di hospital pada hari ketiga kelahiran.

"Jadi, apabila video muzik ini dibuat konsep 'one taker', nak kawal kanak-kanak dan bagi arahan tak mudah. Kadang-kadang Aafiyah 'sporting' dan ikut arahan tapi ada juga bahagian yang penggambaran paling lancar dari babak awal cuma bahagian Aafiyah pula, dia tidak berlari ke arah saya. Sayang sangat sebab semua sdah ok tetapi kena ulang semula

"Seluruh tenaga produksi bekerja sangat berhati-hati, fokus dan alhamdulillah, video muzik ini sudah pun dilancarkan kelmarin," katanya.

Siti berkata, lebih banyak lagi kejadian di belakang tabir video muzik Kuasa Cintamu akan dipaparkan di saluran YouTube Siti Nurhaliza bermula jam 9 malam esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 4:07 PM