BUKA syarikat produksi sebab nak bagi peluang pekerjaan kepada kru dan pelakon.
BUKA syarikat produksi sebab nak bagi peluang pekerjaan kepada kru dan pelakon.
Najiy Jefri


SIAPA sangka perjalanan karier seni Bella Dally semakin membuahkan hasil apabila mengintai peluang dalam dunia penerbitan.

Bella yang kini membuka syarikat produksi, Ariz Media Entertainment Sdn Bhd bersama suami sudah menerbitkan lima drama sejak lebih dua tahun bergiat aktif dalam bidang itu.

Menyedari pasti ada mulut jahat yang mengatakan dia mesti wajib tampil dalam setiap karya diterbitkan, Bella bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

Bella berkata, niat utamanya membuka syarikat produksi bukan untuk memberi laluan mudah kepada dirinya menghiasi kaca televisyen, sebaliknya ingin buka lebih banyak peluang pekerjaan kepada pelakon dan kru produksi.

"Kalau nak tahu kakak ipar saya penerbit eksekutif dalam syarikat dan memiliki pengalaman luas dalam bidang ini, jadi kadang-kadang dia suruh saya berlakon kerana watak itu sesuai dengan imej saya.

"Tetapi, bukan semua drama perlu wajib ada muka saya. Ini kerana setiap pemilihan pelakon kami masih tanya pandangan stesen televisyen sama ada sesuai atau tidak.

"Biasanya penyiar ada kriteria pelakon dimahukan. Jadi, prosesnya bukan senang untuk saya terbabit dalam semua drama terbitan saya.

"Saya masih terbuka jika ada tawaran syarikat produksi lain. Ada yang fikir, saya tidak mahu berlakon lagi. Sebenarnya, saya masih berlakon dan suami tak halang. Mungkin saya agak jarang muncul di TV kerana menolak drama yang tidak kena dengan jiwa," katanya pada sidang media drama terbitan syarikatnya, Cik Misi 123, baru-baru ini.

Bella berkata, dia tidak melihat dirinya akan terus bergiat aktif dalam dunia lakonan dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

Disebabkan itu juga dia mengambil keputusan terjun dalam dunia penerbitan sebagai persiapan pada hari tua kerana kerjaya itu lebih sesuai dengan jiwanya.

"Saya tidak akan berlakon sampai umur 40 atau 50 tahun. Kalau nak tahu sekarang pun saya memilih setiap tawaran yang datang.

"Malah setiap drama terbitan saya pun mempunyai misi yang berbeza iaitu membawakan naskhah yang segar dan mencipta kelainan baharu dalam dunia penerbitan. Saya nak setiap drama terbitan saya ada mesej positif dan mampu beri manfaat kepada orang luar," katanya.

Selain Bella, Cik Misi 123 menampilkan Sweet Qismina, Adam Lee, Hafreez Adam, Afifah Nasir, Faizdickie dan ramai lagi.

Drama itu mengisahkan perjalanan Oya lakonan Sweet yang terpaksa memasuki kursus kejururawatan. Di Kolej Oya bertemu Mika lakonan Adam yang kemudian berusaha memenangi hatinya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2023 @ 6:31 AM