Georgie Joseph


ANNYEONGHASEYO! Song Hye Kyo tidak disangkal antara pelakon wanita terbaik Korea Selatan yang jelas legasinya terus kukuh. Kualiti lakonannya tidak pernah luntur.

Namun begitu, teraju siri The Glory itu mengaku dia dahagakan cabaran untuk memuaskan diri sebagai pelakon. Dia enggan terikat dengan tawaran watak yang akhirnya membuatkan corak lakonannya mendatar.

Dia pernah berdepan situasi di mana minat terhadap berlakon tiba-tiba pudar. Disebabkan tawaran membintangi The Glory, semangatnya untuk terus mempamerkan lakonan terbaik kembali berkobar.

"Saya sentiasa bersungguh mengenai lakonan, tapi pada tahap saya rasa lelah kerana tidak berpeluang cuba projek yang berbeza dan pelbagai. Kemampuan saya mula mendatar.

"Bahkan saya meletakkan diri sebagai penonton di mana jika saya lihat diri sendiri, saya tak rasa seronok. Kesannya, saya hilang minat terhadap lakonan untuk seketika waktu.

"Namun ketika terbabit projek The Glory, rasa cinta terhadap lakonan kembali menyala. Watak-watak menyusul selepas itu lebih banyak berbanding terdahulu," katanya.

Song Hye Kyo sentiasa diingati dengan watak berat dan serius. Kebanyakan kisah cinta penuh emosi sudah menjadi makanannya, selain penonton memang tahu kualiti lakonannya cemerlang.

Hal itu sebenarnya tidak cukup buat pelakon terbabit secara peribadi. Katanya, banyak lagi jenis cabaran dia ingin buktikan menerusi watak lakonannya dalam projek akan datang.

"Masih banyak genre saya belum terokai. Sudah banyak kisah melodrama saya jayakan, namun lagi banyak genre lain belum saya cuba.

"Saya mahu cuba kisah seram, thriller, dan mainkan watak penjahat. Saya juga berminat cuba watak dalam kisah romantik komedi yang mana unsur komedinya cukup kuat," katanya.

Memulakan kerjayanya sebagai model pada 1996, Song Hye Kyo mencipta nama sebagai pelakon selepas menjayakan sitkom Soonpoong Clinic.

Selepas itu, kariernya semakin bersinar apabila terbabit pelbagai drama hit termasuk Autumn in My Heart, All In, Full House, dan Descendants of the Sun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 6:30 AM