Amir Raja Lawak
Amir Raja Lawak
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelawak, Amir Raja Lawak memohon maaf kepada peniaga di sekitar Taiping dan Kamunting, Perak selepas kehadirannya menjalankan perniagaan air balang di kawasan itu, didakwa menjejaskan pendapatan peniaga di kawasan terbabit.

Dalam hantarannya di Instagram, Amir meminta pelanggan tetap peniaga air balang di kawasan itu, agar terus menyokong perniagaan mereka.

"Minta maaf kepada peniaga air di sekitar Taiping dan Kamunting terutama peniaga air balang sekiranya kehadiran saya menyinggung anda semua.

"Harap pelanggan tetap teruslah sokong peniaga jalanan yang anda biasa berurusan," tulisnya di Instagram.

Menurut Amir, kehadirannya ke kawasan itu untuk berniaga adalah bagi membantu rakannya yang juga terkesan dalam perniagaan.

"Saya datang berniaga di Taiping dan Kamunting ini pun santai-santai saja. Tak adalah nak tekan, nak buat jualan sangat. Sebenarnya sambil bantu sahabat lama saya untuk promosikan kedai dia di sini.

"Dia lagilah bersusah payah sebab 'overhead' yang ditanggung terjejas. Saya pun ada kerja lain juga nak uruskan di sini dengan sahabat saya ni. Itu saya datang ke sini. Rata-rata peniaga sekarang ini semuanya terkesan.

"Saya harap janganlah letak kesalahan 100 peratus kepada saya. Lagipun, saya datang berniaga di sini sekejap saja. Hari terakhir berniaga pada Sabtu 30 September ini.

"Didoakan agar segala urusan kita semua dipermudahkan dan dilimpahkan rezeki selalu, amin. Saya muat naik hantaran ini, walaupun dia minta tak tularkan sebab tak ada maklumat terperinci, nama dia dan gambar dia pun di sini," tulisnya.

Amir turut memuat naik tangkap layar mesej yang diterimanya daripada satu peniaga.

"Harap Amir faham sebab ramai yang berniaga air balang jatuh sebab Amir datang Kamunting. Kami berniaga, untuk bersih RM30 hingga RM40.

"Tapi, bila Amir datang Kamunting, kami tak ada pendapatan harian. Makan pun kurang. Dengan musim hujan lagi," tulis pengirim mesej itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 3:51 PM