SHUHAIDA menjemur pakaian ketika cuaca panas terik di kawasan rumahnya. FOTO Zuliaty Zulkiffli
SHUHAIDA menjemur pakaian ketika cuaca panas terik di kawasan rumahnya. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Pokok Sena: "Jemur baju tak sampai satu jam pun dah kering sebab cuaca terlalu panas," kata penduduk, Shuhaida Yusof, 38.

Shuhaida berkata, cuaca panas terik yang melanda daerah ini sehingga mencecah hampir 40 darjah Celsius menyebabkan bahang panas dirasai sehingga dalam rumah.

Katanya, setiap hari dia menyiapkan kerja rumah termasuk menjemur pakaian di ampaian dan menyiram pokok bunga.

"Memang Pokok Sena panas sekarang ni sejak tiga hari lalu hinggakan mandi pun empat kali sehari sebab panas.

"Bahang panas mula dirasai sekitar 11.30 pagi hingga 5.30 petang dan Saya dan dua anak lebih selesa duduk dalam rumah dan mengurangkan pergerakan di luar," katanya ketika ditemui di Taman Angsana, di sini, hari ini.

Shuhaida yang juga peniaga berkata, penggunaan elektrik juga terutama kipas angin dan pendingin hawa agak banyak bulan ini.

Katanya, walaupun menggunakan kipas angin pun masih terasa panas terutama pada waktu malam dan tengahari.

Sementara itu, peniaga air balang, Nur Shalina Mohd Shariff, 28, berkata, cuaca panas terik ini juga memberi rezeki kepadanya apabila semua air balang yang dijualnya habis dalam tempoh dua jam.

Katanya, dia yang memulakan perniagaan bermula 11.30 pagi akan menambah stok air balang apabila nampak berkurangan.

"Cuaca panas terik kali ini agak luar biasa sehinggakan air balang yang saya jual pun habis selepas empat jam walaupun dua kali menambah stok minuman.

"Saya yang berniaga di tepi jalan pun minum air dengan banyak kerana kerap dahaga, " katanya.

Media semalam melaporkan, kawasan Pokok Sena di Kedah merekodkan suhu panas tahap dua atau gelombang haba setakat 4.50 petang semalam.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan, tahap gelombang haba merujuk kepada suhu maksimum harian 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Berita berkaitan:

KKM rekod 12 kes, majoriti kelesuan haba

Pokok Sena alami gelombang haba

Suhu boleh cecah 40 darjah celsius di Pokok Sena

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2024 @ 6:59 PM