Min Yasmin bersama suaminya, Julfekar.
Min Yasmin bersama suaminya, Julfekar.
Yun Mikail


Kota Kinabalu : Penyanyi, Min Yasmin, 34, bersyukur bayi lelaki yang dilahirkan pra matang pada 16 September lalu kini menunjukkan perkembangan positif dengan pertambahan berat badan.

Min atau nama sebenarnya Nurul Yasmin Abdul Aziz juga bersyukur kesihatannya semakin baik walaupun kini masih masih berada di hospital untuk pemantauan berikutan melahirkan bayi pra matang pada usia kandungan mencecah 30 minggu secara pembedahan.

Min yang juga penyanyi lagu Masi Malasa berkata, ketika dilahirkan berat badan bayinya itu 880 gram sebelum berkurang ke 810 gram.

"Bagaimanapun, selepas saya kerap memberikan susu ibu, beratnya bertambah ke 870 gram. Semoga saya terus diberikan kesihatan yang baik supaya dapat menyusunya," katanya.

Dalam pada itu, Min dan suaminya yang juga komposer, Julfekar belum memutuskan nama penuh bagi anak sulung mereka itu.

Bagaimanapun, Min yang popular di Filipina itu berkata, setakat ini dia dan suami baharu memutuskan pangkal nama Muhammad manakala selebihnya belum diputuskan.

"Semua berlaku cepat sehingga nama untuk anak sulung pun kami belum sempat putuskan lagi. Tetapi setakat ini, pangkal nama yang kami pilih adalah Muhammad.

"Suami pun baru tiba di Sabah dari Filipina awal pagi semalam. Insya-Allah kami akan berbincang dan memaklumkan kepada semua nanti," katanya yang ditemani suami dan ibunya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 3:48 PM