MIN menghiburkan peminat di perkarangan pusat beli-belah KCC Mall, Zamboanga City.
MIN menghiburkan peminat di perkarangan pusat beli-belah KCC Mall, Zamboanga City.
MIN ketika sesi promosi konsert Langan Atay di Zamboanga City.
MIN ketika sesi promosi konsert Langan Atay di Zamboanga City.
BERSAMA peminat selepas sesi autograf.
BERSAMA peminat selepas sesi autograf.
MIN melayan peminat.
MIN melayan peminat.
MIN, Nikki Bacolod (tengah), Julfekar dan Diya.
MIN, Nikki Bacolod (tengah), Julfekar dan Diya.
MIN bersama suami, Julfekar (kiri) diapit komposer popular Filipina, Vehnee Saturno (baju kuning) dan Romer Timbreza.
MIN bersama suami, Julfekar (kiri) diapit komposer popular Filipina, Vehnee Saturno (baju kuning) dan Romer Timbreza.
Amirul Haswendy Ashari.


Sejak mencuba nasib di Filipina, penyanyi Min Yasmin berjaya memberi warna berbeza. Lagu Tagalog nyanyiannya, Sa Iyo mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan masyarakat di Filipina.

Lebih membanggakan, lagu itu berjaya bersaing dengan lagu Tagalog lain seterusnya mengungguli beberapa carta radio di negara berkawan selama lebih lima bulan.

Ternyata kehadirannya di negara jiran itu diterima baik dan dia kini dalam siri jelajah album dengan mengadakan konsert dari satu lokasi ke lokasi di seluruh Filipina. Waktu sama, dia sibuk dengan rakaman albumnya.

Bertemu Min yang juga isteri komposer Julfekar Ahmad Shah baru-baru ini sempat berkongsi pengalaman indahnya melayan peminat yang semakin bertambah di sana.

Katanya, sejak melancarkan album duet bersama penyanyi Filipina, Nikki Bacolod, 2 Voices pada 2015, rakyat negara itu semakin mempercayai bakatnya.

“Single Sa Iyo mampu bertahan dalam carta Top 10 berminggu-minggu dan ia menambahkan keyakinan saya untuk mengadakan persembahan jelajah di sana,” katanya.

Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Jauh Di Mata itu berkata, dia sibuk menjalani promosi bergerak untuk konsert Langan Atay di Bandar Zamboanga, minggu lalu.

Sebaik tamat sesi promosi, dia terbang ke Manila untuk menyiapkan rakaman album solo berbahasa Tagalog.

Selepas habis rakaman, dia terbang semula ke Zamboanga untuk konsert yang berlangsung pada 17 dan 19 Februari lalu.

Min atau Nurul Yasmin Abdul Aziz, 27, terharu dengan sambutan peminat. Setibanya mereka di sana, dia terkejut melihat papan iklan besar terpampang di jalan utama sekitar bandar raya itu.

“Perasaan saya bercampur baur antara gembira dan terkejut. Malah perasaan gementar turut ada kerana percaya dengan promosi sebegitu hebat, sambutan daripada peminat di sana juga tidak kurang hebatnya,” kata Min.

Dia bersyukur kerana berpeluang membuat promosi untuk konsert bahasa ‘Tausug’ yang pertama di situ yang bertaraf antarabangsa.

Sambutan diterima amat menggalakkan dan rata-rata masyarakat teruja kerana lagu Tibuuka Na nyanyian Min dan Nikki turut tular di sana sejak tahun lalu meskipun album Langan Atay belum dilancarkan.

Disebabkan permintaan menggalakkan, mereka mengadakan konsert di dua lokasi. Pertama secara tertutup khas untuk orang kenamaan dihadiri hampir 1,000 penonton manakala lokasi kedua di KCC Mall Zamboanga dihadiri lebih 3,000 penonton daripada segenap lapisan masyarakat.

Katanya, persiapan untuk konsert dilakukan oleh penganjur, Gagandilan Productions (Filipina) dengan kerjasama syarikat suaminya, Julfekar Music sejak lima bulan lalu.

“Artis lain yang terbabit ialah Julfekar (Tausug, Sabah), Nikki (Bisaya, Iligan City) dan Diya (Tausug, Basilan). Kami menyampaikan 15 lagu daripada album Langan Atay termasuk beberapa lagu Melayu,” katanya.

Duet penyanyi terkenal Filipina

Melihat sambutan menggalakkan daripada masyarakat di sana, Min dan suami merancang meneruskan konsert pada Ogos ini di Davao dan September di Tawi-Tawi.

Min tidak nafikan mereka akan mengadakan Majlis Pelancaran Album Langan Atay di Malaysia dan masa sama meneruskan konsert bergerak di sekitar Sabah.

Walaupun kini mencipta nama di Filipina dan diterima baik masyarakat di sana, Min tidak pernah patah harapan untuk menghasilkan album untuk pasaran di negara sendiri.

Kata Min, dia akan pulang ke tanah air untuk menyiapkan rakaman album solonya tahun ini. Ini adalah album solo keduanya selepas dua tahun lalu.

“Kali ini istimewa kerana menggunakan muzik bertali secara langsung (live string) sepenuhnya. Setakat ini, empat lagu sudah siap dirakam.

“Pada masa sama, saya juga sibuk berulang-alik Kuala Lumpur-Manila bagi menyiapkan album solo berbahasa Tagalog pertama. Buat masa ini lapan lagu sudah siap dirakam.

“Besar kemungkinan satu daripada lagu yang dalam perancangan akan berduet dengan penyanyi terkenal Filipina,” katanya.

Min bersama suami terbang ke Manila pada 12 Februari lalu dan berada di sana sehingga 26 Februari. Selain merakamkan lagu di sana, Min juga berpeluang bertemu komposer terkenal Filipina, Vehnee Saturno dan mereka dijangka bekerjasama tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2017 @ 5:05 AM