Min Yasmin dan Julfekar
Min Yasmin dan Julfekar
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Saya selalu berdoa kepada Allah supaya berilah sesuatu yang menurut-Nya, terbaik untuk saya. Mungkin ini yang terbaik."

Demikian kata penyanyi, Min Yasmin, 35, saat berkongsi mengenai kehadiran cahaya mata pertama selepas hampir 10 tahun berumah tangga dengan suami yang juga komposer, Julfekar Ahmad Shah.

Min yang selamat melahirkan bayi lelaki pada 16 September lalu di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah berkata, Allah kini menjawab doanya untuk bergelar ibu dan memiliki zuriat sendiri.

"Sebagai orang yang belum pernah ada anak, tentunya saya impikan untuk ada anak sendiri. Alhamdulillah, semuanya atas ketentuan Allah. Kita sebagai hamba, jangan pertikaikan apa-apa dan kena sentiasa berfikiran positif," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai usaha dan ikhtiarnya bersama suami, Min berkongsi bahawa Julfekar tidak membenarkannya untuk melakukan rawatan lain.

"Hampir 10 tahun kami menanti, saya dan suami tak pernah merancang apa-apa. Dia pun tak benarkan saya buat apa-apa rawatan seperti IVF dan sebagainya sebab dia risaukan keadaan saya.

"Dia yakin kami boleh dapatkan zuriat secara semula jadi. Lagi pun, kami berdua sudah menjalani ujian kesuburan dan tak ada masalah.

"Cumanya, saya ada masalah berat badan yang menyebabkan ketidakseimbangan hormon. Jadi, apa yang boleh saya buat adalah, turunkan berat badan.

"Selepas saya dijangkiti Covid-19, berat badan saya turun dari 105 kilogram ke 83 kilogram. Mungkin sebab itu Allah permudahkan saya untuk mengandung," katanya.

Pada 16 September lalu, Min melalui detik mencemaskan apabila terpaksa mengharungi proses bersalin secara pembedahan tanpa kehadiran suami di sisi.

"Disebabkan masalah kesihatan, maka, saya tak dapat elak untuk bersalin awal. Kalau setakat darah tinggi, saya boleh makan ubat. Tapi, sebab ada masalah dengan degupan jantung bayi, jadi, saya terpaksa jalani pembedahan juga.

"Dalam ambulan pun, kadar denyutan jantung bayi diperiksa dan macam tak aktif sangat sebab badannya terlalu lemah.

"Suami saya tak ada bersama ketika saya bersalin sebab pada 14 September, dia dah terbang ke Filipina atas urusan kerja. Tak sangka pula, saya akan bersalin awal sedangkan tarikh jangkaan adalah pada penghujung November.

"Jadi, sewaktu saya perlu jalani pembedahan itu, memang agak kelam kabut juga sebab pihak hospital cuba hubungi suami dan beberapa kali talian gagal di tembus. Bila dapat tahu, dia pun terkejut dan tertekan. Saya kata kepadanya, tak apa sebab Allah ada.

"Sepatutnya, saya ada konsert di sana. Tetapi, disebabkan saya sedang mengandung, konsert itu ditunda. Disebabkan itulah suami perlu ke sana untuk uruskan beberapa urusan untuk penundaan itu," katanya.

Ditanya mengenai keadaan terkininya, Min memaklumkan dia dan bayi masih dirawat di hospital.

"Alhamdulillah, dah masuk hari ketiga dan semuanya dalam keadaan baik.

"Sekarang, saya masih di hospital dan bayi masih ditahan di dalam inkubator. Alhamdulillah, sewaktu dilahirkan, beratnya 880 gram dan cukup sifatnya. Saya harap, dia dapat bertahan," katanya kepada Harian Metro.

"Alhamdulillah juga sebab keadaan saya terutamanya tekanan darah saya pun dah stabil selepas bersalin. Cumanya, bekas pembedahan masih lagi bengkak dan kami masih perlu dipantau," katanya.

Julfekar dan Min mendirikan rumah tangga pada April 2014 dan ini menjadi perkahwinan kedua buat Julfekar. Menerusi perkahwinan pertama, dia dikurniakan empat cahaya mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 2:20 PM