Kuala Lumpur : Selepas 10 tahun menanti, komposer, Julfekar Ahmad Shah dan isterinya yang juga penyanyi, Min Yasmin dikurniakan bayi lelaki yang dilahirkan pada 16 September lalu di Sabah.
Julfekar turut memohon doa orang ramai untuk cahaya mata sulung mereka itu yang dilahirkan pra-matang selepas Min mengalami tekanan darah tinggi tidak terkawal dan perlu menjalani pembedahan segera apabila degup jantung bayi semakin lemah.
"Penantian cahaya mata selepas 10 tahun Bro Jul dan Min Yasmin mendirikan rumah tangga bersama. Syukur, Min selamat melahirkan bayi lelaki pada Hari Malaysia, 16 September, pada jam 7.49 malam.
"Min dikejarkan ke Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah dengan ambulans kerana tekanan darah tingginya yang tak terkawal. Selepas berbincang, untuk mengelakkan keadaan buruk memandangkan detak jantung bayi yang mula semakin lemah, Min terus dibedah dengan serta-merta.
"Mohon doakan keselamatan dan kesihatan sepenuhnya bayi pra-matang kami yang berusia 30 minggu (tujuh bulan setengah) ini," tulisnya dalam satu hantaran di Facebook.
Dalam hantaran sama, Julfekar juga turut memohon doa agar anaknya dapat membesar seperti anak-anak yang lain.
"Moga anak kami mampu membesar sihat seperti anak-anak yang lain. Moga anak ini menjadi anak yang soleh dan membawa kebaikan kepada agama, bangsa dan keluarga.
"Bertambahlah seorang lagi anak Bro Jul sekarang. Terima kasih semua atas doanya dan syukur ke hadrat Ilahi atas kelahiran seorang lagi umat Muhammad SAW di bumi ini. Alhamdulillah," tulisnya.
Julfekar dan Min mendirikan rumah tangga pada April 2014 dan ini menjadi perkahwinan kedua buat Julfekar. Menerusi perkahwinan pertama, dia dikurniakan empat cahaya mata.