NAMANZEE Harris. FOTO arkib NSTP
NAMANZEE Harris. FOTO arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris dianugerahkan ASEAN Inspiring Award Winner 2021 Innovation, Inspire, Creativity pada majlis anugerah #1 ASEAN Award 2021 yang berlangsung di Jakarta, Indonesia, semalam.

Namanzee berkata, anugerah yang dianjurkan Indonesia Award Magazine itu sekali gus memperakui pencapaian dirinya dan seluruh warga TV ALHijrah dalam pengurusan kreatif di peringkat Asean.

"Saya bersyukur kepada Allah SWT yang memberi nikmat rahmat penghargaan anugerah di peringkat antarabangsa buat TV AlHijrah. Pengiktirafan ini untuk pencapaian tahun 2020 yang penuh dengan cabaran berikutan pandemik Covid-19.

"Anugerah ini memperakui pencapaian kami warga TV AlHijrah dalam pengurusan kreatif di peringkat Asean dan bagaimana kita mampu bersaing secara kompetitif di peringkat antarabangsa," katanya.

Menurut Namanzee, anugerah itu juga menjadi lebih bermakna kerana membuktikan penyiaran dakwah juga mampu bersaing dengan industri kreatif lain.

"Anugerah ini menjadi lebih bermakna kerana membuktikan penyiaran dakwah juga mampu bersaing secara kompetitif di dalam industri kreatif dan ini memberikan satu lonjakan semangat kepada kami bagi memberikan yang lebih baik lagi pada tahun ini.

"Insya-Allah, TV AlHijrah akan terus mempelopori program dakwah baharu yang relevan bersesuaian dengan peralihan zaman namun masih berpaksikan al-Quran dan sunnah Rasullullah SAW," katanya.

Bulan lalu, Namanzee turut mendapat pengiktirafan Malaysia's Top Young CEO mewakili industri penyiaran pada majlis 100 Top Young CEO 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 11:11 AM