ABU Talib Husin dan Farah Adeeba antara personaliti yang pernah mengacara program di TV AlHijrah.  FOTO: Khairul Azhar Ahmad
ABU Talib Husin dan Farah Adeeba antara personaliti yang pernah mengacara program di TV AlHijrah. FOTO: Khairul Azhar Ahmad
Sudirman Mohd Tahir

BERSEMPENA ulang tahun ke-10 TV AlHijrah, stesen televisen Islamik pertama negara itu bakal menganjurkan Anugerah Media Islamik (AMI) yang bertujuan untuk menghargai pelbagai cabang dan medium penerbitan berbentuk Islamik dan patuh syariah.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, anugerah itu adalah satu inisiatif dalam mengiktiraf karya seni berbentuk Islamik yang sentiasa memberikan input bermanfaat buat masyarakat sejagat.

"Anugerah ini adalah inisiatif daripada TV AlHijrah selepas melihat secara perlahan-lahan industri nasyid semakin dilupakan dan dari situ timbul idea untuk mewujudkan AMI sekali gus mengiktiraf segala jenis dan cabang penerbitan berunsur Islamik.

"Ia membabitkan penerbitan media cetak, radio, media digital, buku, aplikasi telefon serta penerbitan lagu berunsurkan kerohanian dan nasyid.

"Malah, Youtubers yang mempunyai kandungan video berunsur Islamik juga boleh menghantar pencalonan mereka untuk dinilai oleh panel juri yang akan dipilih oleh pihak kami nanti," katanya.

Namanzee yang ditemui pada Sembang Santai Ulang Tahun ke-10 TV AlHijrah baru-baru ini berkata, AMI dijangka berlangsung pada Disember ini.

NAMANZEE  FOTO: Khairul Azhar Ahmad
NAMANZEE FOTO: Khairul Azhar Ahmad

"Kami merancang untuk mengadakan AMI pada Disember ini dan maklumat lanjut berkaitan anugerah ini akan kami maklumkan kelak. Menerusi perbincangan, setiap kategori akan menyenaraikan Top 20 sebelum memilih Top 5.

"AMI bukan berlandaskan kepada anugerah populariti sebaliknya kami melantik panel juri profesional yang akan menilai sendiri produk penerbitan Islamik yang dibawakan oleh calon itu," katanya.

Selain AMI, TV AlHijrah juga bakal tampil dengan program realiti, BTS yang memberi fokus terhadap pencarian pasukan produksi rancangan bual bicara.

BTS bakal menyaksikan bagaimana sesebuah rancangan TV itu dihasilkan dan ia akan mencabar setiap peserta untuk berfikir luar kotak agar mendapat suatu hasil yang membanggakan.

"Jika selama ini kita banyak dihidangkan dengan program realiti pencarian penyanyi dan pelakon, kami membuat kelainan dengan mencari individu belakang tabir yang mengemudi penerbitan sesebuah program TV.

"Dari rancangan ini, penonton dapat melihat cabaran dan dugaan yang dilalui bagi menghasilkan sebuah program TV yang jarang dipertontonkan kepada umum.

LUKMAN Hakim salah seorang pengacara di TV AlHijrah.  FOTO: Khairul Azhar Ahmad
LUKMAN Hakim salah seorang pengacara di TV AlHijrah. FOTO: Khairul Azhar Ahmad

"Mengikut perancangan, BTS akan mula bersiaran pada Januari tahun hadapan dan kami mengalu-alukan penyertaan daripada semua pihak terutama daripada graduan bidang penyiaran," katanya.

Dalam masa sama, bersempena sambutan Maal Hijrah 1442H esok, TV AlHijrah bakal menyajikan program hebat mereka yang bersiaran selama 10 jam tanpa henti.

Bermula jam 7 pagi program Assalamualaikum Live yang menghimpunkan kesemua pengacara program itu dahulu dan sekarang, Go Shop Live, My #Qurantime Live, Istimewa Ulang Tahun TV Alhijrah Majlis Doa Selamat dan Kesyukuran bersama Menteri Datuk Dr Zulkifli, Berita TV Alhijrah, Boss Mama Kirim Salam, Nasiah Jiwa dan Platform Istimewa Ulang Tahun TV AlHijrah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2020 @ 6:15 AM