Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi, Zack Kool, 57, teruja dapat bersama anak ketiganya, Amirah Nabila, 20, atau Bella membintangi teater purbawara Batu Belah.

Teater terbitan Persatuan Teater Hidayah arahan Yusry Kamaruzzaman ini akan berlangsung pada Jumaat hingga Ahad ini di Dewan Tunku Abdul Rahman (MaTiC), di sini.

"Saya dah lama terbabit dalam teater terutamanya bangsawan dan purbawara. Istimewanya saya dan anak sama-sama terbabit dalam persembahan kali ini.

"Saya menggalakkan Bella menceburi bidang seni sejak usia lima tahun lagi dan sokong minatnya untuk terus berada dalam bidang ini. Dia sekarang belajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

"Saya mempunyai empat anak. Yang kedua, perempuan terbabit sebagai penari di MaTiC. Saya tak pernah kenalkan Bella (Nabila) sebagai anak saya. Sekarang masa yang sesuai untuk kenalkan dia," katanya kepada Harian Metro.

Menerusi teater ini, Zack berlakon sebagai Tengku Zulkefli, manakala Bella sebagai ketua dayang bernama Kesuma.

"Saya tak rasa janggal berlakon dengan anak sendiri. Lagipun kami banyak babak berasingan. Lagipun saya hanya buat kemunculan khas dalam satu babak menyampaikan lagu tema berjudul Batu Belah.

"Bercakap mengenai cabaran dunia seni, memang banyak juga dan saya akan pantau juga. Namun saya tak boleh tegas sangat beri teguran..

"Benda ini dia akan belajar sendiri nanti. Saya tak boleh tegas sangat beri teguran. Sebagai seorang pelakon dia kena melalui satu peristiwa dan dari situ dia akan jadi pegangan dia," katanya.

Sementara itu, Bella berkata, dia gembira dapat melanjutkan pengajian dalam Diploma Teater selama tiga tahun di Aswara.

"Saya selalu ikut papa dan mama pergi produksi teater. Ini pertama kali bersama papa. Jadi pengalamannya agak berbeza dengan persembahan lain sebelum ini.

"Masa awal latihan mulanya kekok dan gugup sebab kali pertama papa ada bersama. Apabila masing-masing buat latihan barulah okey.

"Lama-kelamaan dah tiada apa-apa sebab dia dengan babaknya dan saya dengan babak sendiri. Masing-masing fokus dengan lakonan

"Insya-Allah saya akan terus berlakon kalau terbuka rezeki dalam lakonan. Sekiranya tidak, saya akan kerja kerajaan dalam unit yang masih berkaitan alam kebudayaan," katanya.

Bella pernah berlakon drama Anak Bertuah dan filem Balun. Dia juga pernah terbabit dalam muzikal Wajah Rahsia Hati bersama Fauziah Ahmad Daud di Singapura.

"Dalam muzikal itu saya terbabit sebagai penari dan lakonan. Apa-apa saja watak saya akan bawakan asalkan tak melampaui batas.

"Saya juga takkan gunakan nama papa sebagai batu loncatan. Biarlah saya popular dengan bakat dan usaha sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 4:02 PM