Lauv
Lauv

Kuala Lumpur: Penyanyi Amerika Syarikat (AS), Lauv, 28, membatalkan konsert dua malamnya di sini pada bulan depan meskipun tiketnya terjual habis.

Penyanyi lagu hit I Like Me Better itu sepatutnya dijadualkan beraksi di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 6 dan 7 September depan.

Pembeli tiket konsert itu dilaporkan menerima emel mengenai pembatalan terbabit daripada penganjur Live Nation Malaysia.

Menurutnya, ia dibatalkan atas sebab-sebab tidak dapat dielakkan.

"Pembayaran semula akan dibuat kepada pembeli tiket. Rakan kongsi penjual tiket kami, GoLive Asia akan menghubungi kamu berkenaan bayaran balik itu," demikian antara kenyataannya.

Bagaimanapun, konsertnya di Singapura pada 5 September masih akan berlangsung seperti dijadualkan.

Pembatalan itu menyusul selepas insiden Festival Good Vibes (GVF) dibatalkan baru-baru ini selepas Matt Healy daripada The 1975 mencetuskan kontroversi sehingga tular.

Lauv atau nama sebenarnya Ari Staprans Leff masih belum membuat sebarang kenyataan mengenai pembatalan itu. Namun, ramai spekulasi ia berpunca daripada insiden GVF terbabit.

Peminat turut dilihat membanjiri ruangan komen di Instagram dan menyatakan kekecewaan mereka dengan pembatalan mengejut itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 7:08 PM