SUKARELAWAN pemandu pelancong Masjid Negeri Selangor.
SUKARELAWAN pemandu pelancong Masjid Negeri Selangor.
Mahaizura Abd Malik

Shah Alam: Bukan setakat menerangkan mengenai seni bina dan sejarah masjid, malah sukarelawan pemandu pelancong Masjid Negeri Selangor Guide (MNSG) turut menjadi perantara kepada pelancong bukan Muslim yang berminat mendalami Islam.

Pengerusinya, Tanzil Md Noor berkata, MNSG dijenamakan semula daripada Masjid Tour Guide yang dahulunya dikendalikan Islamic Outreach ABIM sebelum diletakkan di bawah pengurusan masjid negeri sejak dua tahun lalu.

Beliau berkata, ramai pelancong terutama dari Jepun tidak faham mengenai fungsi sebenar masjid yang dianggap sebagai tempat untuk menunaikan solat semata-mata sedangkan ia turut menjadi lokasi penyebaran ilmu, penganjuran pelbagai aktiviti sosial dan komuniti.

“Masjid ini menjadi destinasi popular dalam kalangan pelancong Jepun, Eropah, China, Hong Kong dan Korea Selatan. Bilangan pelancong tahun lalu saja mencecah lebih 26,000 orang.

“Tugas kami bukan saja menjadi pemandu pelancong yang menerangkan perihal masjid ini, malah turut berdakwah dengan memberi pencerahan mengenai ajaran Islam.

“Turut ditekankan adalah kepelbagaian fungsi masjid. Jadi pelancong bukan saja datang bergambar kenangan, tetapi pulang ke negara asal dengan dibekalkan sedikit pengetahuan mengenai Islam,” katanya.

Menurutnya, bagi pelancong bukan Muslim yang diberi pencerahan dan ingin mendalami Islam, mereka akan dibantu berdasarkan garis panduan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

“Jika ada pelancong bukan Muslim menyatakan hasrat untuk mengucapkan dua kalimah syahadah, mereka akan dirujuk kepada Biro Mualaf dan Biro Dakwah MNSG,” katanya.

Tanzil berkata, saudara baru itu akan dibimbing menerusi kursus asas fardu ain setiap Sabtu dan Ahad yang dijalankan dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

“Boleh kata setiap Jumaat, kami anjurkan majlis mengucap dua kalimah syahadah bagi yang ingin memeluk Islam.

“Kami juga akan membimbing mereka dan usaha MNSG ini mendapat pengiktirafan dan menerima pentauliahan sebagai pusat syahadah daripada MAIS.

“Syukur sejak 10 tahun lalu, Allah SWT buka hati 400 pelancong yang kami kendalikan untuk memeluk Islam dan tahun ini saja bermula Januari lalu, 47 saudara baru sudah mengucapkan dua kalimah syahadah,” katanya.

Menurutnya, MNSG digerakkan 50 sukarelawan berusia 24 hingga 84 tahun yang turut diberikan pelbagai latihan dan kursus bagi memudahkan mereka berurusan dengan pelancong.

Katanya, apa yang membanggakan MNSG turut menerima pengiktirafan dunia iaitu Certificate of Excellence 2018 daripada TripAdvisor.

“Semua sukarelawan bukan saja belajar mengenai asas sebagai pemandu pelancong, malah mereka juga diberi latihan bagaimana untuk mendekati penganut agama lain oleh pakar seperti Nicholas Sylvester Muhammad Abdullah, Firdaus Wong Wai Hung, Muhammad Fitri Abdullah dan Mas Yuri yang berkongsi pengalaman mereka sebelum memeluk Islam.

“Menariknya semua sukarelawan berpeluang mempelajari pelbagai bahasa asing seperti Jepun, Mandarin dan Arab dengan mengikuti kelas bahasa secara percuma bagi memudahkan mereka berkomunikasi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 9:42 AM