BARISAN pelakon pada gala premiere filem Adoiii Jiwaku. FOTO Aswadi Alias
BARISAN pelakon pada gala premiere filem Adoiii Jiwaku. FOTO Aswadi Alias
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur : Pengarah dan pelakon filem Adoiii Jiwaku, Steve Yap menyelitkan mesej berkaitan realiti yang berlaku di Malaysia dalam beberapa babak filem itu.

Antaranya mengenai sikap segelintir ahli politik di negara ini yang hanya muncul ketika musim pilihan raya untuk mengambil berat mengenai keperluan masyarakat.

"Babak watak Malesh lakonan Ramana Mohan menyebut mengenai orang-orang politik yang hanya muncul saat pilihan raya, itu terpulang kepada penerimaan penonton.

"Bak kata pepatah, siapa yang makan cili, dia rasa pedasnya," katanya.

Steve yang ditemui di malam gala filem berkenaan turut berkongsi mengenai penggunaan perkataan-perkataan sensitif seperti 'keling', 'Cina babi' dan sebagainya dalam filem itu.

"Banyak mengenai persepsi masyarakat Malaysia terutamanya dalam kalangan orang-orang politik. Kerana itulah saya gunakan idea-idea itu dalam filem ini.

"Saya sendiri tanya kepada Mohan mengenai penggunaan perkataan 'keling'. Saya masih ingat lagi, untuk babak emosional membabitkan watak Malesh lakonan Mohan, saya ambil satu 'take' saja kerana tak mahu mengganggu emosinya.

"Saya beritahu Mohan, luahkan emosi sepenuhnya untuk babak ini kerana ini sangat penting untuk mewakili masyarakat India. Kena tunjukkan emosi dia yang sangat mendalam di bahagian itu," katanya.

Dalam filem yang mempromosikan keharmonian kaum itu juga, Steve turut memaparkan babak di mana, watak Ayis lakonan Ali Arami dan bapa Ayis (Anuar Abdul Hamid) memegang anjing untuk berkongsi ilmu kepada penonton bukan Islam.

"Untuk babak ayah Ayis memegang anjing ketika dalam perjalanan ke masjid untuk solat Subuh, saya nak tunjukkan kepada segelintir masyarakat bukan Islam yang masih tak faham mengenai hukum memegang anjing bagi orang Islam.

"Saya nak tunjukkan bahawa orang Islam itu sayangkan semua makhluk ciptaan Tuhan. Untuk babak ini, inspirasi saya adalah dari filem Sepet.

"Cuma, yang beza adalah kerana bapa Ayis ingin menyelamatkan anjing yang diikat di tepi jalan dan perlu menyentuh anjing itu dan kemudian menyamak sebelum meneruskan perjalanan ke masjid," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2023 @ 1:12 PM