ALI akui teruja jadi ‘hero’ filem buat kali pertama.
ALI akui teruja jadi ‘hero’ filem buat kali pertama.
Norhayati Nordin

Kemahiran menguasai lebih dua bahasa kini disifatkan penting.

Ini kerana semakin banyak kemahiran bahasa itu dikuasai seseorang, maka memudahkan lagi untuk berkomunikasi dalam pergaulan seharian.

Bagi pelakon lagak ngeri yang kini mendapat peluang muncul sebagai hero filem, Ali Arami, 33, gembira fasih bertutur dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin.

Ali yang juga pelakon utama filem Adoii Jiwaku berkata, dia dihantar ibu bapanya mendapatkan pendidikan awal di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dari sekolah rendah hingga menengah.

"Ketika kanak-kanak dulu, saya tidak rela dihantar ke sekolah Cina untuk menimba ilmu. Namun, ia keputusan dibuat ibu bapa saya dan tidak boleh dibantah. Jadi, tetap kena terima dengan hati terbuka.

"Tidak mudah menimba ilmu di sekolah Cina kerana penguasaan bahasa berbeza. Nak kena cakap Mandarin di sekolah, ia bukan senang dan memerlukan masa untuk memahaminya.

"Apatah lagi, persaingan dengan rakan yang berbilang kaum semestinya memerlukan kita bersemangat kuat. Tapi, lama-kelamaan apabila sudah terbiasa dan fasih berbahasa Mandarin, ia jadi mudah dalam pembelajaran dan pergaulan harian," katanya.

Ali yang berasal dari Melaka dan bekas atlet sukan wushu berkata, sekarang dia gembira dan bangga kerana fasih menguasai tiga bahasa.

Katanya, dia juga senang dan tiada masalah bekerjasama dalam produksi milik bukan Melayu.

"Sebagai satu Malaysia, saya biasanya bercakap dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Inggeris dan Mandarin mengikut situasi. Lebih mudah dan praktikal untuk berkomunikasi. Tiada masalah untuk masing-masing sukar faham.

"Buat masa ini, Alhamdulillah urusan kerja saya juga berjalan lancar. Saya amat berterima kasih kepada ibu bapa saya atas keputusan dibuat mereka dalam usaha memberikan saya pendidikan terbaik," katanya.

Mengulas kerjasama dengan pelakon dan pengarah Steve Yap dalam filem Adoiii Jiwaku, Ali berkata, dia sudah lama mengenali Steve, namun tidak menyangka mendapat peluang melakonkan watak Ayis itu.

"Saya adalah pelakon baharu yang kurang pengalaman. Jadi, sedikit sebanyak saya bimbang juga menerima tawaran filem ini pada mulanya. Tapi, Steve banyak bantu dan saya sudah buat yang termampu.

"Harapan saya supaya watak Ayis ini diterima baik penonton. Malah, sekiranya dikecam saya juga bersedia menerimanya. Saya tahu tidak mudah untuk kita puaskan hati semua orang. Apa pun, saya selesa melihat positif," ujarnya.

Filem Adoiii Jiwaku menemui penonton di pawagam tanah air mulai 7 September depan.

Selain Ali, ia turut dibintangi Steve Yap, E Ramanamohan, Amber Chia, Allahyarham Adibah Noor, Pablo Amirul dan Daniel Sher.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2023 @ 6:20 AM