Program Ambang Merdeka Malam Untukmu Ibnor.
Program Ambang Merdeka Malam Untukmu Ibnor.
Ridzuan Abdul Rahman

 

Ampang: Kemunculan penyanyi Ibnor Riza, 62, berduet dengan Khairool Idlan menerusi lagu Bimbang Serumpun Kasih Terbuang selepas sembilan bulan berehat akibat kanser limfoma tahap empat menerima tepukan bergemuruh daripada peminat.

Mereka hadir memberi sokongan terhadap program Malam Amal Ambang Merdeka "Malam Untukmu Ibnor" bertujuan mengumpul dana menampung kos perubatan penyanyi terbabit di Hotel Grand Barakah Ampang, di sini malam tadi.  

Ibnor kelihatan lemah menjalani rawatan di pusat perubatan Darussyifa' semalam berkata, dia mengagahkan diri hadir ke program yang dianjurkan khas untuknya.

"Saya amat berterima kasih terhadap sokongan yang diberikan kepada penganjuran program ini. Ternyata rakan-rakan artis dan peminat memberikan sokongan tak berbelah bahagi kepada saya. 

"Saya memerlukan RM17,000 lagi untuk mencukupkan jumlah keseluruhan RM30,000 untuk menampung kos dua sesi kemoterapi yang dijadual di pusat perubatan swasta.

"Saya sudah jalani kemoterapi sebanyak enam kali di hospital kerajaan sebelum ini tetapi sel kanser masih ada lagi. Selepas dapat nasihat doktor pakar, saya merancang untuk buat dua lagi sesi kemoterapi tetapi di pusat perubatan swasta di Petaling Jaya," katanya. 

Malam Amal Ambang Merdeka "Malam Untukmu Ibnor" dianjurkan oleh Persatuan Melodi Kenangan Artis dan Penggiat Seni Malaysia (Pemekar) yang diterajui oleh pelakon dan penggiat teater Amran Nasruddin dan Grand Barakah Hotel Ampang.

Ia menampilkan Ibnor sendiri, Jay Jay, Sofia Ibrahim, Siti Fairuz, Khairool Idlan dan Nizam Laksamana serta penampilan khas Datuk Khadijah Ibrahim. 

"Saya tak berpeluk tubuh melihat orang lain bekerja untuk saya, sebaliknya saya juga berusaha jual meja dan berjaya menjual tujuh meja kepada kawan-kawan dan peminat," katanya. 

Ibnor turut menyanyikan beberapa lagu secara solo antaranya lagu popularnya Mimpi Yang Tak Sudah. 

Acara ini menarik kehadiran 800 peminat dan penggiat seni memberikan sokongan dengan membeli meja dan tiket individu yang disediakan. 

Antara yang hadir ialah Datuk Yusof Haslam, Datuk S. Atan, Datuk Hail Amir, A Galak, Jalil Hamid, Normah Damanhuri, Khaty Azean, Deen Maidin, Azura Aziz dan ramai lagi. 

Sementara itu, Pemekar mengumumkan sumbangan khas berjumlah RM17,000 kepada Ibnor. Bagaimanapun jumlah terbabit belum termasuk hasil kutipan program malam tadi. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 7:36 AM