Ashraf bersama isteri-isteri, Noor Dayana (kiri) dan Wan Sakinah bersama anak-anaknya mereka.
Ashraf bersama isteri-isteri, Noor Dayana (kiri) dan Wan Sakinah bersama anak-anaknya mereka.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Masih ramai lelaki termasuk dalam kalangan rakan-rakan mengirim mesej (DM) di Instagram meminta tips berpoligami daripada pelakon, Ashraf Muslim, 40.

Ashraf yang kini menjalani kehidupan bahagia bersama dua isteri, Noor Dayana Lokman dan Wan Sakinah Ahmad Saburi berkata, setiap hari ada mesej diterimanya daripada lelaki yang bertanya dan meminta tips panduan daripadanya berkaitan poligami.

"Macam-macam yang ditanyakan. Cuma, ada mesej yang saya jawab dan ada juga tak berkesempatan nak balas. Namun, saya okay saja untuk menjawab," katanya.

Menurutnya, poligami biasa dilihat 'manis' untuk lelaki dan 'pahit' buat wanita.

"Kelaziman tips yang ingin diketahui pastinya membabitkan keharmonian rumah tangga dengan dua pasangan. Begitu juga dalam menjaga hati dan perasaan isteri-isteri," katanya.

Hasil perkongsian hidup Ashraf dengan Noor Dayana, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Anas Ashraf, 7.

Bersama Wan Sakinah pula, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Sarah Ashraf, 8, Adam Ashraf, 7, dan Safiyyah Ashraf, 3.

Ashraf yang masih aktif berlakon kini muncul dengan drama 3 Nota Cinta di slot Akasia TV3 bersama Sharifah Rose, Wani Kayrie, Afifah Nasir dan ramai lagi.

Ditanya gandingan bersama Sharifah Rose, 23, yang 17 tahun lebih muda, Ashraf berkata, watak Zain lakonannya ialah komposer lagu berusia 30-an dan jarak usia untuk watak itu tidak jauh berbeza.

"Jadi, sebagai pelakon saya hanya perlu tahu bezakan antara lakonan dan realiti. Oleh itu, saya hanya melakonkan watak Zain mengikut kesesuaian watak dan tiada masalah pun berlakon dengan Rose.

"Rose juga mudah dibawa berbincang dan suka bertanya. Saya pun sentiasa cuba berkomunikasi dengan dia untuk kami sama-sama mencari kesesuaian dalam watak," katanya.

Ashraf berkata, dia juga gembira kerana masih diberi peluang membintangi naskhah drama untuk slot popular seperti Akasia.

Ia dianggap sebagai satu penghargaan bermakna buatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 3:25 PM