PETALING JAYA 27 JUN 2023. Pelakon dan Penerbit filem Sue-On, Datuk Awie pada Malam Gala dan Tayangan Perdana filem Sue-On di GSC Starling Mall. STR/GENES GULITAH
PETALING JAYA 27 JUN 2023. Pelakon dan Penerbit filem Sue-On, Datuk Awie pada Malam Gala dan Tayangan Perdana filem Sue-On di GSC Starling Mall. STR/GENES GULITAH
Ridzuan Abdul Rahman

 

Kuala Lumpur: Pelakon, penyanyi dan penerbit, Datuk Awie menjelaskan dia sebenarnya tidak berhasrat mengambil pelakon Erra Fazira berlakon dalam filem terbitannya Sue-On.

Menurutnya, dia sebenarnya tidak bercadang mengambil Erra memandangkan watak itu hanyalah watak kecil yang boleh dibawakan oleh pelakon lain.

"Ia sepatutnya dilakonkan oleh seorang pempengaruh (influencer). Watak itu memang untuk dia. Tapi dia demand harga terlalu tinggi sangat. Jadi team saya terpaksa tolak.

"Saya tidak berhubung dengan individu itu. Mereka kata dia demand sangat jadi saya pun hubungi Erra. Alhamdulillah...dia setuju. 

"Saya tak nak ulas fasal pempengaruh itu. Biarlah mereka mungkin sekarang zaman mereka. Popular dalam media sosial belum tentu boleh tarik penonton," katanya. 

Awie yang turut berlakon dalam filem ini sebagai Mat Dosa berkata, media sosial adalah percuma dan belum tentu penonton akan menonton lakonan mereka.

"Saya hanya tengok gambar pempengaruh itu sahaja kerana semua urusan dikendalikan oleh team. Watak itu sebenarnya tak besar pun. 

"Tapi bila Erra pegang ia jadi lain. Itu yang bagusnya bila kita bagi pada profesional untuk pegang watak. Walau sikit tapi besar maknanya. Kebetulan Erra pun tiada apa-apa aktiviti. 

"Sebenarnya saya tak nak panggil Erra untuk watak kecil. Kita memang ada perancangan selepas ini ada lagi filem untuk dia. Tapi bila dah jadi begini, baiklah saya ambil Erra, biar watak itu dibawa lagi elok," katanya. 

Sue-On terbitan Rumah Produksi Merah  akan ditayangkan pada 6 Julai ini.

Awie mengharapkan sambutan yang baik dari penonton dan memberi bayangan menghasilkan sambungannya jika ia mencapai kejayaan. 

"Doakanlah...kita tak menjanjikan dengan nama yang sama. Ada benda sebenarnya yang best nanti. InsyaAllah...," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2023 @ 4:27 PM