AWIE (kanan) bergambar bersama isterinya, Sharifah Ladyana dan Erra Fazira.
AWIE (kanan) bergambar bersama isterinya, Sharifah Ladyana dan Erra Fazira.
Ridzuan Abdul Rahman


"PADA saya kita tak boleh menghalang untuk orang mengimbau, mengenang atau apa saja. Juga membuat spekulasi berkenaan konsert ini.

“Saya juga tak boleh menghentikan mereka untuk berfikir begitu. Itu terpulang kepada mereka," kata Datuk Awie mengenai pemilihan penyanyi dan pelakon cantik, Erra Fazira sebagai penyanyi undangan untuk konsert solonya, Romantika yang bakal mengungkit kembali kisah silam mereka.

Konsert sempena sambutan jubli perak 25 tahun pembabitan Awie dalam bidang seni itu akan berlangsung pada 15 Februari tahun depan di Stadium Malawati, Shah Alam.

Awie, 51, atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata, dia sudah memberitahu Erra apa yang ingin disampaikan dalam konsert terbabit nanti.

"Niat di hati saya adalah untuk mengembalikan semula nostalgia itu. Orang lain berhak untuk menilai apa sahaja.

"Tetapi di akhir konsert nanti mereka akan melihat sesuatu. Mereka akan faham apa tugasan kami.

"Kami juga akan imbas kembali babak percintaan lalu tapi tidaklah ambil 100 peratus apa yang berlaku," katanya.

Menurutnya, dia hanya akan mengambil detik penting kisah mereka untuk ditampilkan dalam konsert berkonsep drama muzikal itu.

"Contohnya, mulanya saya masuk menyanyi kemudian memperkenalkan Erra. Apabila dia masuk menyanyi, akan diselitkan satu drama.

"Menerusi drama ini barulah diperkenalkan penceritaan konsert itu nanti di mana ada babak romantik, tegang, ketawa dan sebagainya.

"Lagu yang dipilih pula diambil kira bersesuaian dengan konsert. Kalau tiada yang sesuai, kami akan ambil lagu orang lain supaya kena dengan penceritaan konsert ini," katanya.

Erra, 45, pula berkata, maksud Romantika sendiri sinonim dengan kisah percintaan mereka dan apabila tidak kesampaian, ia menimbulkan tanda tanya ramai.

"Sehingga ke hari ini kami masih dihujani persoalan kenapa ia tak menjadi. Ada yang suruh saya kahwin dengan Awie dan ia kerja gila kerana statusnya sekarang serta mempunyai lima anak.

"Dalam masa sama, kami juga contoh yang baik kepada orang ramai bahawa jikalau silaturahim atau perhubungan itu tak menjadi, tak bermakna kena bermusuh.

"Malah mungkin siapa tahu kita boleh jadi kawan yang rapat," katanya.

Awie pula berkata, konsert itu turut akan menjawab persoalan mengapa hubungan cinta mereka dahulu tidak kesampaian.

"Ia bukan sahaja akan dijawab di pentas ini kerana ia hanya sedikit 'teaser' untuk saya bawa dalam sebuah filem nanti.

"Biar kita habiskan pada 2020 supaya orang faham," katanya.

Ditanya berkenaan perasaan serta penerimaan isterinya Sharifah Ladyana Syed Samsuddin terhadap gandingan bersama Erra, katanya, ia berjalan secara baik.

"Semestinya saya kena menjaga kedua-dua belah pihak terutama hati isteri dan anak.

"Sebelum buat sesuatu perkara, biarlah saya selesaikan hal di rumah supaya jangan ada isu berbangkit di kemudian hari.

"Isteri izinkan demi untuk melaksanakan perniagaan dan konsert ini. Saya amat bersyukur," katanya.

Awie berkata, isterinya turut meminta diperkenalkan dengan Erra kerana dia mahu bergambar.

Sementara itu, Awie memulakan sesi jelajah Konsert Awie Romantika ke selatan bermula hari ini hingga 7 Disember ini.

Ia bermula pada jam 4.30 petang di Giant Hypermarket Mall, Senawang dan pada jam 8.30 malam pula di Menara Taming Sari Melaka.

Lokasi lain yang akan dikunjungi mereka ialah Batu Pahat Mall, Johor jam 4.30 petang dan Banafee Village jam 9 malam pada 5 Disember.

Jelajah itu akan berakhir dengan sesi bertemu peminat di Angsana Mall Johor Bahru jam 3 petang pada 6 Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Disember 2019 @ 8:00 PM