Jahangir Khan (dua dari kanan) mengiringi jenazah isterinya Rohana Jalil. FOTO FAIZ ANUAR
Jahangir Khan (dua dari kanan) mengiringi jenazah isterinya Rohana Jalil. FOTO FAIZ ANUAR
Georgie Joseph


Lebih empat dekad menjadi anak seni, Allahyarham Rohana Jalil, 68, antara pejuang industri hiburan yang tidak kenal penat lelah. Dia mengabadikan keringatnya sebagai penghibur hingga nafas terakhir.

Justeru, pemergiannya pada jam 11.33 malam tadi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akibat kebocoran usus diratapi ramai penggiat seni tempatan.

Terlalu besar bakti ibu kepada pelakon dan penyanyi Kilafairy itu dalam industri hiburan negara. Bahkan, karakternya yang cukup peramah dan mudah didekati sentiasa dipuji ramai.

Berasal dari Kota Tinggi, Johor, kembara Rohana untuk menjadi anak seni sejati bukan titian mudah. Allahyarham berusaha menggapai impiannya sambil menyara keluarga termasuk pernah menyanyi di kelab.

Pada 1979, Rohana meninggalkan kampung halaman demi menggapai impian sebagai penyanyi dan nekad merantau ke Kuala Lumpur dan menyertai pertandingan Bintang RTM.

Impiannya menjadi kenyataan dan rezeki berpihak kepadanya apabila dijulang sebagai juara Bintang RTM pada 1981. Dari situlah dia mengorak langkah kembangkan karier seninya.

Walaupun bukan mudah untuknya mencipta populariti, namun dia memang tidak dinafikan antara penyanyi memiliki vokal hebat pada sekitar era terbabit.

Kerja kerasnya membuahkan hasil apabila lagu nyanyiannya berjudul Rayuanku ciptaan Allahyarham A Ali berjaya meledak dan mencetuskan fenomena sekitar 1988. Terus namanya kian dijulang.

Formula menghasilkan lagu bersama A Ali cukup menjadi kerana karya-karya kerjasama mereka selepas itu sangat disukai peminat.

Antara lagu yang berhasil meletakkan nama Rohana dalam industri seni termasuk Resahku, Kerana Dia Kita Terpisah, Faez, Jauh Terkenang, Jangan Main Mata dan Naluri Cinta, duet bersama To'ki.

Dalam kalangan artis lama, budi pekerti Rohana memang tidak asing lagi. Dia sangat menjaga nilai persahabatan dan bukan jenis berkira terutama dengan rakan-rakan seangkatannya.

Antara yang arwah akrab termasuk Datin Salwa Abdul Rahman, Jaafar Onn, Datuk Azizul Khamis, Zur Eda, Azura Aziz dan Haiza. Disebabkan itulah, rata-rata mereka sangat terkesan dengan pemergiannya.

Antara pencapaian yang sangat membanggakan dalam karier seni Rohana adalah dia pernah menyertai Anugerah Juara Lagu (AJL). Ketika AJL ketiga, dia berjaya merangkul naib juara kategori Persembahan Terbaik menerusi lagu Rayuanku.

Pada AJL 1986, Rohana menggantikan tempat Datuk Jamal Abdillah menyanyikan lagu Cinta Yang Terbiar dan mendapat tempat ketiga untuk kategori Persembahan Terbaik.

Hasil perkongsian hidup bersama suaminya, Jahangir Khan, pasangan itu dikurniakan tiga anak perempuan, Rosella, Shakira Idora dan Kilafairy.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 4:24 PM