Penyanyi, Naufal Azrin di reruai Anugerah Bintang Popular BH (ABPPH) Ke-35, Karnival Jom Heboh (KJH) Selangor Generasi Muda di Dataran Karnival, Stadium Shah Alam, petang tadi. FOTO Rohanis Shukri
Penyanyi, Naufal Azrin di reruai Anugerah Bintang Popular BH (ABPPH) Ke-35, Karnival Jom Heboh (KJH) Selangor Generasi Muda di Dataran Karnival, Stadium Shah Alam, petang tadi. FOTO Rohanis Shukri
Georgie Joseph

 

Shah Alam: Reruai Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35, Karnival Jom Heboh (KJH) Selangor Generasi Muda di Dataran Karnival, Stadium Shah Alam, hari ini menjadi medan penting terutama artis baharu menuai undian.

Penyanyi Naufal Azrin, 23, atau nama sebenarnya Ahmad Naufal Azrin yang turut hadir tidak menyangka ada peminat rupanya mengenalinya selain manfaatkan ia untuk sapa mereka lebih dekat.

"Apa yang paling buat saya teruja untuk datang adalah dapat jumpa peminat, main permainan, dan beramah mesra. Saya juga ingin promosikan nama sayalah untuk mereka undi di ABPBH.

"Saya memang tak sangka ramai peminat mengenali saya dan tangkap gambar bersama. Alhamdulillah, saya pun agak terkejut dan bersyukur sebab ramai tadi datang kenal saya," katanya.

Penyanyi lagu Casablanca itu beranggapan tindakan turun padang ke acara jelajah ABPBH sedemikian akan memberi peluang lebih tinggi dari segi promosi.

Justeru, dia mahu terbabit lagi dalam aktiviti seumpama apabila ada peluang ditawarkan selepas ini.

"Bagi saya ABPBH satu anugerah dan platform yang besar. Alhamdulillah, tak sangka saya pun tercalon sekali. Semestinya patut acara ini dibuat untuk mempromosi artis baharu yang tercalon.

"Dapat jumpa peminat secara bersemuka dan boleh berkomunikasi dengan mereka. Kalau ada lagi acara-acara sebegini, insya Allah saya akan komited terbabit dengan jayanya," katanya.

Penyanyi berkenaan tercalon dalam kategori Artis BBNU Paling Popular, Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular, dan Lagu Paling Popular.

Selain Naufal, artis lain yang turut singgah reruai berkenaan termasuk Khai Bahar, Idan Aedan, Ismail Izzani, Haiza dan beberapa pempengaruh terkenal.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2023 @ 8:27 PM