AISHAH terkejut dicalonkan sebagai Top 5 ABPBH ke-32. FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman
AISHAH terkejut dicalonkan sebagai Top 5 ABPBH ke-32. FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman
Syanty Octavia Amry


PENYANYI Aishah, 54, mengakui kontroversi yang membabitkan dirinya sebelum ini secara tidak langsung memberi peluang kepadanya tercalon dalam Top 5 Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32.

Disenaraikan dalam kategori Penyanyi Wanita Popular DuitNow, Aishah bersaing dengan penyanyi muda dan popular seperti Wany Hasrita, Siti Nordiana, Ara Johari dan Stacy.

“Daripada orang tidak kenal, sekarang anak-anak muda ramai sudah tahu siapa saya. Daripada tidak suka ada yang mula suka dan begitu juga sebaliknya.

“Saya terkejut dan masih terpinga-pinga apabila diumumkan sebagai Top 5, malah pada awalnya saya sangka mereka mengusik,” katanya.

Aishah berkata, tercalon Top 5 sudah memadai dan merasakan satu kemenangan buat dirinya.

“Saya artis pertama yang menang ABPBH pada 1990 dan selepas 32 tahun, saya tercalon kembali dalam Top 5.

“Bagi saya masuk Top 5 sudah boleh dianggap menang. Saya bersyukur kerana masih diterima hingga ke hari ini.

“Boleh dikatakan yang mengundi saya mungkin peminat muda yang mula mengenali diri ini.

“Ini semua berkat sokongan peminat. Mereka suka dan teruja apabila saya disenaraikan sebagai Top 5,” katanya.

Aishah berkata, selepas ini biarlah orang ramai lebih menghargai kerjaya seninya berbanding kontroversi.

“Sekarang zaman dihujung jari. Apabila berlaku sesuatu isu, mudah sahaja tular sana-sini. Namun, bagi saya biarlah kisah tular itu seiring dengan bakat yang kita ada.

“Kalau hanya popular dengan kontroversi, tidak berbaloi,” katanya.

Aishah berharap pencalonannya dalam Top 5 ABPBH kali ini dapat membuka lebih ruang untuknya berkarya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 5:10 AM