NAZMI
NAZMI
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon Orang Kelainan Upaya (OKU), Nazmi Kamaruzaman, 40, kesal dengan sikap segelintir syarikat produksi yang mengamalkan diskriminasi terhadap pelakon OKU dan memberikan watak OKU kepada pelakon normal.

Nazmi ketika ditemui di Sesi Townhall Industri Kreatif Siri 3: Industri Filem berkata, dia pernah digugurkan sebagai pelakon selepas pihak produksi memilih untuk menggunakan khidmat pelakon bukan OKU dengan alasan dia tidak dapat berlakon dengan baik.

"Saya pernah menerima tawaran lakonan sebagai watak OKU. Selepas beberapa ketika, pihak produksi menggantikan watak saya dengan pelakon lain yang normal.

"Memang mereka membayar saya dengan bayaran RM500. Tapi, alasan yang mereka berikan adalah saya tak boleh berlakon.

"Mereka mencadangkan saya untuk menulis (di belakang tabir), tapi saya tak minat menulis. Saya minat berlakon," katanya.

Di acara membabitkan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu, Nazmi berharap lebih banyak peluang diberikan kepada pelakon OKU untuk mencari rezeki dalam bidang lakonan.

"Pada awalnya, ramai tahu bahawa OKU boleh berlakon dan berdikari. Tapi, tawaran mula berkurangan selepas produksi sedar bahawa ramai pelakon lain yang ada.

"Saya berharap agar Finas dapat membantu saya atau OKU lain yang nak berlakon dan ketengahkan. Bukan beri watak OKU kepada orang normal.

"Tapi, saya tak nafikan juga bahawa ada OKU yang dapat dapat sesuaikan diri dengan suasana di set penggambaran. Kalau untuk saya, saya dah biasa," katanya.

Luahan Nazmi itu juga mendapat perhatian Menteri KKD, Fahmi Fadzil yang tidak menolak, situasi berlaku membabitkan unsur diskriminasi terhadap golongan OKU.

"Mungkin ada pihak yang mengambil kesempatan dengan mengelak memberikan peluang kepada golongan OKU ini.

"Apa yang saya nampak, ada beberapa isu yang membabitkan diskriminasi. Saya akan minta pihak Finas untuk melihat lebih dalam mengenai perkara ini," katanya.

Nazmi memulakan kerjaya sebagai pelakon menerusi filem KL Gangster 2 sebagai watak pengemis. Kemudian, dia turut terbabit sebagai pelakon dalam filem Pekak, memegang peranan sebagai OKU.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 4:35 PM