Michelle Yeoh yang memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Everything Everywhere All at Once di Anurerah Academy. FOTO AFP
Michelle Yeoh yang memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Everything Everywhere All at Once di Anurerah Academy. FOTO AFP
Susunan Norhayati Nordin


Los Angeles: Filem Everything Everywhere All at Once arahan Daniel Kwan dan Daniel Scheinert dinobatkan sebagai Filem Terbaik di Anugerah Academy atau Oscar bagi edisi Ke-95, yang bersiaran langsung dari Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), hari ini.

Daripada 11 kategori tercalon, filem Everything Everywhere All at Once ini berjaya menang besar apabila membawa pulang tujuh trofi.

Selain Filem Terbaik, ia merangkul anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Suntingan Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik.

Paling bermakna, pastinya trofi Pelakon Wanita Terbaik yang dimenangi aktres kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh melakonkan watak utama sebagai Evelyn Quan Wang dalam filem mengangkat semangat kental wanita itu.

Seorang dari pengarah filem itu, Daniel Scheinert berkata, kemenangan Everything Everywhere All at Once di Oscar itu adalah dedikasi khas dan istimewa buat seluruh insan bergelar wanita dan ibu di luar sana yang bersemangat kental.

"Saya dan rakan, Daniel Kwan menghasilkan filem Everything Everywhere All at Once ini untuk didedikasikan kepada wanita dan kaum ibu khusus buat orang tua saya iaitu Ken dan Becky.

"Terima kasih kerana tidak mematahkan kreativiti yang saya fikirkan sepanjang sibuk membuat filem seperti seram yang sangat mengganggu atau komedi yang benar-benar sesat," katanya dalam ucapan kemenangan itu.

Bagi Daniel Kwan pula, dia menyifatkan kejayaan dikecapi mereka adalah hasil usaha bersama yang terbaik diberikan pelbagai pihak yang tidak pernah berhenti menyatakan sokongan padu dan semangat.

"Saya tahu setiap pengarah bersetuju dengan saya apabila mengatakan seorang pengarah itu bukan apa-apa tanpa pelakon dan pasukan kru yang luar biasa. Ini adalah keluarga dan rakan-rakan seperjuangan saya selama kami berkarya.

"Jika filem yang kita hasilkan mempunyai kehebatan, itu datangnya daripada mereka semua yang ikut serta bersama menjayakannya sehingga selesai. Jadi, mereka yang memberikan hadiah berharga ini kepada filem kami," katanya.

Ditayangkan pada tahun lalu, filem Everything Everywhere All at Once menjadi bualan ramai selepas berjaya meraih kutipan 'box office' (pecah panggung) sebanyak AS$100 juta (RM443 juta).Filem Everything Everywhere All at Once berkisar mengenai seorang imigran China iaitu Evelyn Quan Wang (Michelle) yang terjebak ke dalam satu siri penggambaran tidak terduga dan hanya dia yang mampu menjadi penyelamat keluarganya.

Apa yang pasti, siapa sangka karya filem 'indie' seperti Everything Everywhere All at Once dapat bersaing dengan filem hebat lain seperti All Quiet On The Western Front, Avatar: The Way of Water, The Banshees Of Inisherin, Elvis, The Fabelmans,TÁR, Top Gun: Maverick, Triangle Of Sadness dan Women Talking.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 4:18 PM