SHASHA bawa watak Dede dalam Satukan Rasa.
SHASHA bawa watak Dede dalam Satukan Rasa.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


NAMA pelakon baharu, Shasha Abedul mungkin masih asing dalam kalangan peminat dan orang industri.

Namun, bagi penggemar drama Melayu ada antaranya sudah mulai mengenali gadis kecil molek ini meskipun hanya melakonkan watak pembantu.

Nama Shasha kian meniti di bibir peminat terutama penonton setia drama Satukan Rasa yang kini ditayangkan di Astro Ria dengan melakonkan watak Dede.

Fenomena luar biasa drama lakonan Khai Bahar dan Siti Nordiana itu selain menjadi trending pada setiap episod memberi tuah kepada Shasha untuk lebih dikenali sekali gus mencipta populariti.

“Alhamdulillah, saya anggap ini permulaan yang baik dalam kerjaya. Orang mulai kenal saya dengan watak ini.

“Paling penting, saya bertuah apabila dapat bekerjasama dengan mereka yang cukup profesional.

“Populariti pelakon utama drama ini adalah bonus hingga drama ini trending setiap malam. Jadi, saya pun tumpang rezeki mereka,” katanya.

Shasha yang bermula dalam bidang iklan komersial sejak tiga tahun lalu mencuba nasib sebagai pelakon pada 2018 menerusi drama Isteri Bukan Untuk Disewa yang ditayangkan di TV3.

Shasha mengakui, sebelum diberi peluang berlakon dia sudah banyak kali ditolak ketika menghadiri

uji bakat yang dibuat beberapa syarikat produksi.

“Saya bermula dengan iklan komersial tiga tahun lalu. Ia memang minat saya. Perlahan-lahan, saya mencuba pula berlakon drama.

“Saya bermula dengan terbabit dalam program On Air. Di situ saya belajar banyak perkara termasuk lakonan. Sejak itu juga, saya beranikan diri pergi uji bakat drama.

“Walaupun banyak kali ditolak, saya tak putus asa dan teruskan mencuba. Sehinggalah saya diberi peluang oleh Osman Ali dalam Isteri Bukan Untuk Disewa.

“Selepas itu, saya terus diberi peluang melakonkan watak pembantu dalam produksi Zeel Production. Dari situ, saya terus berlakon sampai sekarang,” katanya.

Semakin seronok

Lebih setahun berlakon, Shasha berkata, dia semakin seronok apatah lagi dapat belajar sesuatu yang baru dalam setiap projek disertai.

“Lama-kelamaan saya semakin seronok. Sebab belajar banyak perkara baharu. Saya juga belajar daripada kesilapan terutama watak dalam lakonan. Saya cuba perbaiki setiap kelemahan.

“Saya tidak mengikuti sebarang kelas lakonan. Saya belajar sendiri di lokasi. Saya tengok watak orang lain dan belajar dari situ. Mana tahu dapat watak itu pada masa akan datang, saya boleh gunakan.

“Dalam erti kata lain, saya semakin minat bidang ini. Saya mahu lagi dan berasa tak nak berehat. Tak pernah bosan pun,” katanya.

Ditanya sejauh mana kesediaannya melakonkan babak ranjang, Shasha berkata, dia berani menolak jika perkara itu tidak perlu dibuat.

“Saya percaya, babak sebegini tentu saja ada batas. Tapi, ia terpulang kepada jalan cerita. Kalau okey, saya buat. Kalau tak, saya boleh beri pandangan.

“Saya tak nak buat sesuatu yang tak selesa. Bukan apa, kalau saya tak dapat buat dan sampaikan dengan baik, mesti pengarah pun tak puas hati,” katanya.

Shasha berkongsi, jika diberi pilihan dia mahu melakonkan watak antagonis.

“Kalau boleh nak cuba watak antagonis yang betul-betul jahat hingga orang benci. Kalau nak lebih mencabar, saya nak watak yang baik dan naif.

“Tapi buat masa sekarang, saya terima saja. Saya masih dalam proses pembelajaran, jadi perlu untuk tahu banyak perkara. Bagi saya, setiap watak berbeza pembawaan karakter,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 November 2019 @ 5:30 AM