ASHRAF fokus ketenangan fizikal dan rohani.
ASHRAF fokus ketenangan fizikal dan rohani.
Zaara Talita


MUKMIN berjaya melakukan hijrah dalam diri untuk mendapatkan kehidupan lebih baik.

Hijrah bukan saja dari sudut material, malah menyeluruh meliputi fizikal dan rohani.

Hijrah tidak boleh dipandang dari sudut material semata-mata seperti dari hidup sederhana kepada hidup lebih kaya atau dari susah menjadi senang.

Pelakon, Ashraf Muslim, 42, berkata, apa yang dikecapinya hari ini bagaikan tidak disangka-sangka.

Berkat kesabaran dan didikan terhadap kedua-dua isterinya, Ashraf bersyukur Allah mengurniakan anugerah dan nikmat yang tidak terhingga.

Ashraf berkata, isteri pertama, Noor Dayana Lokman dan isteri kedua, Wan Sakinah Ahmad Saburi bukan saja boleh bertentang mata, duduk dan makan bersama, malah dia pernah membawa mereka bercuti bersama.

"Kalau dilihat pelbagai isu dan kontroversi rumah tangga selebriti ketika ini, kisah saya pada suatu ketika dulu berwarna-warni juga. Dari belum berkahwin sehingga saya mendirikan rumah tangga dan kemudian mempunyai dua isteri.

"Semua yang berlaku menjadi pengajaran buat diri saya, namun saya mengambil pendekatan untuk tidak mengulas lebih lanjut. Bukan mudah untuk kekal istiqamah, ibarat orang hendak berhenti merokok, perlu konsisten dan mempunyai 'will power' yang kuat.

"Kematangan berdasarkan pengalaman ini selari dengan penghijrahan ke arah lebih baik sejak 2009. Apabila berbicara mengenai hijrah pastinya setiap orang mempunyai pelbagai pengalaman.

"Apatah lagi, apabila hendak berubah ke arah kebaikan, ada pelbagai dugaan. Oleh itu, penghijrahan bagi saya adalah sangat subjektif. Saya memilih jalan ini kerana saya mahu hidup lebih tenang," katanya.

Ashraf berkata, pada peringkat permulaan, banyak pengalaman pahit dan getir terpaksa dilaluinya. Namun, semuanya bagaikan sempurna.

Ashraf mengakui sedang melalui fasa bahagia dan berasa seronok. Ini kerana Allah mengurniakan dua isteri yang saling memahami dan anak-anak yang sihat.

Ashraf bernikah dengan isteri pertama, Noor Dayana pada 24 September 2011 di Makkah dan difahamkan masalah rumah tangga mula tercetus kerana isu belum dikurniakan zuriat sepanjang dua tahun perkahwinan.

Bagaimanapun, selepas empat tahun, mereka dikurniakan anak lelaki, Anas Ashraf.

Manakala, bersama Wan Sakinah yang dinikahi di Thailand pada 7 Julai 2013 pula, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Sarah Ashraf, Adam Ashraf dan Safiyyah Ashraf.

Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya, Ashraf meletakkan syarat pada bulan Ramadan kali ini bagi memberikan fokus untuk beribadat.

"Hendak solat berjemaah setiap hari pun bukan mudah sebenarnya, namun kita cuba sebaik mungkin sekadar termampu. Pada bulan Ramadan ini saya terima juga tawaran berlakon, cuma saya mengehadkan sehingga jam 5 petang saja.

"Syarat yang saya letak adalah pada sebelah malam perlu berhenti. Tidak kisah sekiranya penggambaran bermula selepas sahur, cuma apabila selesai solat Asar, babak yang ada saya perlu berhenti dan sambung keesokan harinya pula.

"Alhamdulillah, pihak produksi boleh memenuhi permintaan saya itu, sedikit sebanyak dapat menggubah sistem dalam produksi. Benda boleh diubah dan disusun. Selain itu, saya juga berhasrat untuk khatam al-Quran dalam bulan Ramadan.

"Tidak kira sibuk bagaimana pun, perlu curi masa bagi memastikan hasrat untuk khatam al-Quran dapat dilaksanakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 6:45 AM