ASHRAF sudah 13 tahun babitkan diri dalam bidang lakonan.
ASHRAF sudah 13 tahun babitkan diri dalam bidang lakonan.
Ramlah Zainal


ASHRAF Muslim masih menjadi pilihan penerbit dan pengarah drama selepas lebih 13 tahun dalam bidang lakonan.

Menurut Ashraf, 37, dia bersyukur kerana masih mendapat kepercayaan daripada syarikat produksi drama dan telefilem ketika ini.

“Sebagai pelakon, saya sentiasa menjaga kualiti dan disiplin kerana ia juga periuk nasi sejak dulu. Walaupun sudah lama berlakon, saya tetap anggap diri masih belajar dan bersedia menerima teguran daripada penerbit serta pengarah.

“Kenapa pelakon baru atau lama tidak boleh ditegur? Teguran yang diberikan pengarah itu adalah ilmu untuk kita memperbaiki prestasi lakonan sedia ada,” katanya.

Ditanya sama ada dirinya masih relevan sebagai hero, kata Ashraf, setakat ini dia masih mendapat kepercayaan untuk beraksi sebagai hero dalam drama.

“Jika penerbit dan pihak stesen televisyen masih mahu menawarkan watak hero, ia membuktikan saya masih relevan dalam bidang lakonan.

“Pada masa sama, saya percaya pihak stesen televisyen dan pengarah drama juga menghormati prinsip saya supaya tidak ada babak bersentuhan dengan pelakon wanita dalam lakonan sampai sekarang,” katanya.

Mengenai kemunculan pelakon baru pula, Ashraf tidak menganggapnya sebagai satu persaingan negatif kerana kemunculan bakat baru turut merancakkan bidang seni tanah air.

“Saya tidak kisah berganding dengan pelakon baru atau lama dalam drama mahupun telefilem. Contohnya, gandingan dengan Raisya Rizrose dalam drama bersiri Menantu Rahsia yang bersiaran di Slot Akasia di TV3 ketika ini.

“Apa yang penting, pelakon baru perlu pandai membawa diri, tidak sombong dan ego dalam bidang seni. Pelakon baru juga perlu memiliki sifat mahu belajar dan menimba ilmu dalam bidang lakonan,” katanya.

Bagaimanapun, kata Ashraf dia tetap selektif dengan watak yang ditawarkan dalam lakonan ketika ini.

“Setiap kali mendapat naskhah baru, saya akan meneliti skrip dan jalan ceritanya terlebih dulu. Jika ceritanya menarik dan sesuai barulah saya terima,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ashraf juga terbabit sebagai ahli panel dan juri jemputan bersama Fasha Sandha sempena penganjuran Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2019.

Berehat daripada aktiviti lakonan

Selepas drama Menantu Rahsia, Ashraf memberitahu dia mahu berehat seketika dari bidang lakonan untuk memberi tumpuan pada perniagaan.

“Saya juga terima tawaran projek telefilem tetapi penggambarannya dijangka selepas Aidilfitri nanti. Tidak lama lagi, kita akan menyambut Ramadan dan selalunya saya berehat daripada bidang seni dan memberi fokus ibadat puasa,” katanya.

Beralih sisi peribadinya pula, kata Ashraf, keluarganya kini lengkap dengan kehadiran empat cahaya mata.

“Selain perniagaan, saya juga mahu memberi tumpuan pada empat anak yang masih kecil. Buat masa ini, saya tidak merancang menambah anak lagi kerana mahu membesarkan empat anak sedia ada sebaik mungkin,” katanya.

Menerusi perkahwinan pertamanya dengan Dayana Lokman, Ashraf memiliki anak lelaki, Anas Ashraf yang kini berusia tiga tahun.

Bersama isteri keduanya, Wan Sakinah Ahmad Saburi, 34, mereka dikurniakan tiga anak iaitu Sarah Ashraf, 4, Adam Ashraf, 3 dan bayi perempuan, Safiyyah Ashraf.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 6:00 AM