DAYANG selesa ambil positif, elak negatif. FOTO Hairul Anuar Abdul Rahim
DAYANG selesa ambil positif, elak negatif. FOTO Hairul Anuar Abdul Rahim
Norhayati Nordin


LEBIH dua dekad perjalanan karier seni penghibur tanah air, Dayang Nurfaizah sejak kemunculan album pertamanya pada 1999, wanita berkaliber ini dilihat sentiasa tersenyum tanpa menunjukkan sedikit pun perasaan sedih atau kecewa.

Apakah tiada sekelumit pun perasaan kurang selesa atau tidak gembira pernah dihadapi Dayang selama dia berjuang sebagai penggiat seni suara?

Mengulasnya, wanita berusia 42 tahun ini berkata, sebagai manusia biasa, dia tidak terlepas melaluinya.

"Sebagaimana orang lain yang ada kalanya berasa sedih, kecewa dan sebagainya, saya juga melalui perasaan itu. Saya lebih suka segera mengambilnya dari sudut positif untuk cepat menenangkan diri.

"Saya juga ada masa akan rasa tak puas hati dan nak mengadu macam-macam selepas balik 'show', tapi selalunya akan bercerita dengan kakak di rumah untuk meluahkan saja. Selepas itu, saya okay semula.

"Alhamdulillah saya bersyukur mempunyai keluarga yang sentiasa ada di sisi untuk mendengar segala luahan dan keluhan dirasai. Sebagai penyanyi, ada masa saya berasa 'lonely' (sunyi) juga walaupun di pentas mendapat tepukan gemuruh peminat," katanya.

Penyanyi lagu Di Pintu Syurga dan Lelaki Teragung ini berkata, dia juga seorang yang berhati-hati untuk meluahkan sesuatu, hanya kepada mereka yang rapat dan dipercayainya saja.

Dayang berkata, dia juga tidak mempunyai ramai kawan.

Ditanya apakah dia tidak bercadang mencari 'teman istimewa', Dayang atau nama sebenarnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty berkata, dia ada memikirkan perkara itu, namun sehingga kini belum menemuinya lagi.

Terdahulu, Dayang ditemui media pada majlis pelancaran album Belagu II, baru-baru ini.

Album yang mengangkat semula lagu Melayu klasik itu dirakam menggunakan khidmat pemuzik Budapest Scoring Orchestra (BSO), Hungary dan susunan muzik oleh Aubrey Suwito.

Berbicara mengenai album Belagu II, Dayang berkata, ia dihasilkan susulan album Belagu I yang dilancar pada tahun lalu.

Katanya, dia lega apabila Belagu II yang dibuka untuk pratempahan sudah ditempah lebih 1,000 unit.

"Alhamdulillah sambutan diterima daripada peminat sangat baik sejak pratempahan album ini (Belagu II) dibuka kira-kira dua minggu lalu. Tak sangka ramai juga yang dah menempahnya.

"Tujuan saya mengeluarkan album Belagu II ialah demi kepuasan diri, selain melunaskan hasrat peribadi mahu memperkenalkan lagu Melayu klasik kepada generasi muda masa kini. Saya juga langsung tidak memikirkan soal keuntungan.

ALBUM Belagu II istimewa daripada Dayang untuk peminat. FOTO Hairul Anuar Abdul Rahim
ALBUM Belagu II istimewa daripada Dayang untuk peminat. FOTO Hairul Anuar Abdul Rahim

"Walaupun tidak mudah untuk saya menyiapkan album ini kerana berhadapan tekanan yang besar juga. Tapi, saya tanamkan dalam hati supaya terus kuat semangat untuk memastikan ia dapat disiapkan dengan hasil terbaik dan memuaskan.

"Sememangnya proses menyiapkan album ini (Belagu II) cukup rumit. Dari bermulanya pemilihan lagu, ia sukar kerana kami sebolehnya ingin memastikan setiap lagu dipilih itu sedap didengar dan sesuai saya bawakan dalam persembahan.

"Walaupun memuatkan sembilan lagu saja, tapi perlu diingat saya bukan penyanyi lagu asli. Jadi, dalam hal ini saya dan Aubrey sentiasa memastikan bagaimana lagu Melayu klasik dipilih dapat saya nyanyi dengan cara sendiri tanpa merosakkan keaslian lagu asal," katanya.

Menurut Dayang, lagu asli ada etika untuk dinyanyikan, bukan boleh main langgar saja.

Katanya, dia juga banyak membuat penyelidikan dan rujukan bersama rakan penyanyi lain seperti Bob Yusof yang baginya banyak 'kerja rumah' perlu dibuat.

Kerjasama Habsah Hassan

Selain bergabung dengan Aubrey selaku pengarah muzik, istimewanya lagi penghasilan Belagu II di hati Dayang ialah peluang julung kalinya dia menyanyikan lagu hasil tulisan lirik oleh Datuk Habsah Hassan.

Dayang berkata, lagu Rindu Menyapa yang menjadi trek terakhir dalam Belagu II dianggap lagu 'penutup' terbaik yang berjaya menggambarkan perasaan dirinya dan hasrat utama menghasilkan album itu.

DAYANG tampil dengan lagu Rindu Menyapa bergenre pop klasik. FOTO Hairul Anuar Abdul Rahim
DAYANG tampil dengan lagu Rindu Menyapa bergenre pop klasik. FOTO Hairul Anuar Abdul Rahim

"Lagu Rindu Menyapa ini bertemakan pop klasik, namun melodi dan liriknya sedap didengar. Tapi, saya tak sangka Aubrey sebagai pencipta lagu ini berjaya mendapatkan khidmat Habsah untuk menuliskan lirik.

"Saya sangat teruja dan berbesar hati kerana berpeluang merakamkan lagu Rindu Menyapa ini kerana sudah lama juga mengimpikan dapat menyanyikan lagu sentuhan Habsah, sekali gus ada rezeki kami bekerjasama," katanya.

Menurut Dayang, sebelum ini dia juga selalu berangan-angan memiliki lagu pop klasik.

Katanya, dia mahu menghasilkan lagu itu dengan sepenuh jiwa dan tidak sesekali membuat kerja ala kadar demi kepuasannya yang sentiasa teliti dan ingin sempurna.

Selain Rindu Menyapa, lapan lagi lagu dimuat dalam album Belagu II ialah Nak Dara Rindu, Menanti Di Ambang Syurga, Ketipang Payung, Jauh Di Mata, Mengapa Rindu, Sejak Ku Bertemu Padamu, Dari Hati Ke Hati dan Umpan Jinak Di Air Tenang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2023 @ 7:00 AM