Puteris Sarah (kiri). Syamsul Yusof.
Puteris Sarah (kiri). Syamsul Yusof.
Zaara Talita


Kuala Lumpur : "Doakan yang terbaik semoga Sarah (Puteri Sarah Liyana) boleh berbincang dan berbaik dengan saya. Mudah-mudahan semoga yang terbaik buat kami".

Itu kata pengarah Syamsul Yusof ketika ditemui di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, di sini, pagi hari ini.

Syamsul hadir ke situ untuk sesi bersama Jawatankuasa Pendamai (JKP) untuk mencari penyelesaian berhubung kemelut rumah tangganya bersama pelakon, Puteri Sarah Liyana.

"Hari ini kami menjalani proses JKP, semoga daripada sesi ini Sarah boleh berbaik dan berbincang dengan saya. Tak tahu lagi macam mana, doakan yang terbaik dan kita jumpa selepas ini," katanya.

Puteri Sarah dan Syamsul diperintahkan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur supaya melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes permohonan perceraian mereka pada 7 Mac lalu.

Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kes itu disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.

Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan perceraian itu di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh antara alasan yang dikemukakan Puteri Sarah untuk bercerai ialah sudah tidak ada persefahaman dan berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri menurut hukum syarak.

Mereka berkahiwn pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata.

Pada 6 Januari lalu, Syamsul bernikah lagi satu dengan Ira Kazar di Thailand dan didaftarkan di Malaysia pada 20 Januari lalu.

Sebelum itu, kemelut rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah mula menjadi perhatian ramai sejak pertengahan tahun lalu apabila Puteri Sarah mendedahkan kehadiran 'orang ketiga' iaitu Ira sehingga perlu mengambil tindakan undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2023 @ 10:47 AM