Peguam, Mohammad Izwan Azmi ketika Sidang Media isu bitcoin berkait dengan Datuk Seri Vida.
Peguam, Mohammad Izwan Azmi ketika Sidang Media isu bitcoin berkait dengan Datuk Seri Vida.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Peguam Mohammad Izwan Azmi yang mewakili 41 mangsa skim pelaburan mata wang kripto milik Datuk Seri Vida iaitu Lavida Coin (DSV Crypto Club, LUX Galaxies and VI Profit Galaxy memaklumkan tidak menerima sebarang notis lantikan peguam yang mewakili Vida dalam kes ini.

Izwan dari Tetuan Izwan Mazniza Kamil & Associates berkata, tiada sebarang perkembangan terbaru walaupun mahkamah menetapkan 20 Mac ini untuk memaklumkan status kes teikini selain memfailkan permohonan taksiran kos oleh pihak mahkamah.

"Setakat hari ini kami tak terima sebarang notis Vida melantik peguam. Sampai hari ini belum ada apa-apa daripada Vida mahupun peguam yang dilantiknya," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu pada 10 Mac lalu, Izwan dalam sidang media bersama mangsa-mangsa terbabit mengemukakan tuntutan kerugian berjumlah RM59 juta terhadap usahawan kosmetik terbabit.

Mereka menuntut janji Vida mengembalikan wang pelaburan yang dibuat sejak 2018 serta keuntungan yang dijanjikan.

Vida dan pembantu peribadinya sebelum ini yang dikenali sebagai Diyla bertindak menyekat panggilan dan mesej WhatsApp.

Mereka turut memfailkan saman terhadap Vida di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bersama tiga lagi rakan kongsinya yang menjalankan Lavida Coin. Mereka adalah Shuhada Ab Aziz, Mohd Kamarul Azmi dan Noordin Sahlam.

Izwan juga sudah mengemukakan writ saman dan pernyataan tuntutan kepada Vida selaku defendan pertama pada 15 Disember tahun lalu di Empire Beauty DSV, Angsana Mall, Ipoh, Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 11:15 AM