Hafidz (kanan) ditumbuk Aedy dalam satu pertandingan tinju.
Hafidz (kanan) ditumbuk Aedy dalam satu pertandingan tinju.

Kuala Lumpur : Tindakan pelakon, Aedy Ashraf memuat naik video pendek yang memaparkan dia menumbuk muka pelakon, Hafidz Roshdi mencuri perhatian netizen.

Di Twitter, video itu turut disertakan dengan ciapan pendek dan ditujukan kepada netizen yang mungkin sedang geram.

"Mana yang geram itu, tengok puas-puas," tulisnya.

Rata-rata netizen seperti 'gembira' dengan tindakan Aedy itu selepas kebanyakannya geram akibat tindakan Hafidz didakwa melafazkan cerai terhadap isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri.

Shuhada dalam kenyataannya kepada Harian Metro semalam berkata, Hafidz sudah melafazkan cerai terhadapnya, namun ibu kepada dua cahaya mata itu enggan mengulas lanjut perkara itu dan memohon diberikan ruang.

Shuhada memohon doa orang ramai semoga hati dia dan anak-anaknya reda dengan ketentuan itu.

Shuhada juga akan ke mahkamah untuk pengesahan lafaz cerai itu pada 1 Mac ini.

Difahamkan, video itu diambil ketika kedua-duanya menyertai satu pertandingan tinju membabitkan selebriti tanah air.

Tidak tahu tujuan video itu, rata-rata netizen membalas dengan komen yang mencuit hati.

"Terbaik la Dy (Aedy). Dalam baik, kau sindir balik dia Dy. Patut hari itu, kau henyak dia sampai lunyai. Baru dia ada akal sikit. Terima kasih Dy, sebab memahami perasaan netizen," tulis seorang netizen.

"Okay, puas hati. Tapi, sebab berlakon, puas hati itu 6/10," tulis satu netizen lain.

Dalam video itu, kelihatan Hafidz nampak lemah dan 'lunyai' selepas ditumbuk beberapa kali oleh Aedy.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2023 @ 6:01 PM