ALI Puteh
ALI Puteh
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur : Pelawak, Ali Puteh kesal apabila video yang dimuat naik berhubung dakwaannya mengenai balu Allahyarham Abam Bocey, Siti Norhidayah Mohd Ali ada meninggalkan beberapa barang seperti garam kasar, limau dan lain-lain lagi di pagar rumah dipercayai untuk upacara ritual tertentu mendapat komen berbaur sindiran daripada netizen.

Menerusi hantaran di Instagram, Ali berkata, ada netizen meninggalkan komen dakwaan itu hanya rekaannya semata-mata.

"Bergelak ketawalah dengan sindiran komen taburan garam limau dan bangkai itu sebagai mainan. Ada yang mengejek ni sebagai jenaka, ada yang komen ini rekaan. Siap tulis jangan lupa tambah garam dalam masakan," tulisnya.

Dalam perkongsian itu lagi, Ali berkata, netizen tidak tahu apa yang dia dan keluarga lalui.

"Kena pada anda semua, kalau kena pada yang komen tu semua taulah. Baru tahu apa yang kami sekeluarga rasa. Ini barang jangan dibuat main.

"Pada si penabur barang tu, jangan risau, kita dah pulangkan barang kamu. Kita tak berminat dengan barang kamu," tulisnya.

Sementara itu, dalam perkongsiannya lagi, Ali berkata, handal dengan ilmu yang Allah berikan adalah untuk membantu orang lain dan bukannya untuk menganiaya orang.

"Semoga Allah berikan keampunan dengan apa yang sudah dibuat," tulisnya.

Sementara itu, cubaan Harian Metro menghubungi Hidayah bagi mendapatkan komennya berhubung dakwaan Ali itu tidak berjaya apabila dia tidak menjawab panggilan telefon dan membalas mesej WhatsApp.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2023 @ 3:03 PM