DANNY
DANNY
Najiy Jefri


Putrajaya: "Sejak berat badan saya turun, isteri sudah mula berpegangan tangan ketika keluar berjalan," kata penyanyi dan pelakon Danny X-Factor yang berjaya menurunkan berat badan sebanyak 15 kilogram (kg) selepas mengamalkan gaya hidup sihat sejak Jun lalu.

Danny berkata, dia terpanggil untuk menurunkan berat badan selepas menyedari ramai pihak terutama peminat masih mengenali dirinya ketika aktif menggunakan aplikasi TikTok.

"Semuanya bermula ketika saya aktif di laman TikTok. Ketika memuat naik gambar di TikTok, saya tak sangka terima maklum balas positif dan masih ramai yang kenal saya.

"Tapi di sebalik komen positif itu, ada juga komen yang kurang enak apabila mereka mengatakan saya sudah tidak macam dulu. Jadi, saya tergerak hati untuk turunkan berat badan.

"Saya mula diet dan amalkan gaya hidup sihat. Saya tak tersinggung pun dengan komen sedemikian, malah saya anggap ia adalah satu teguran dan pembakar semangat untuk turunkan berat badan.

"Isteri pun seronok tengok saya sudah mula kurus kerana sebelum ini dia pernah tunjuk perbezaan wajah saya di foto perkahwinan kami dengan sekarang. Sangat berbeza," katanya.

Menurut Danny, sebelum ini berat badannya pernah mencecah 92 kg namun selepas empat bulan mengamalkan rutin diet yang betul tanpa pengambilan sebarang suplemen kini berat badannya sudah 77 kg.

"Selain sekadar suka-suka nak turunkan berat badan, saya juga nak pastikan tubuh badan saya sihat. Antara amalan yang saya lakukan adalah 'tolak' gula dan mengawal pemakanan selain bersenam. Saya tidak mengambil sebarang suplemen walaupun ada produk yang menawarkannya.

"Saya akui penampilan sangat penting, lebih-lebih lagi untuk tujuan kerja. Ia sangat membantu apabila saya sudah mula mendapat tawaran. Insya-Allah saya bakal terbabit dengan filem tapi nantilah saya kongsikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2022 @ 4:49 PM