Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil. FOTO Genes Gulitah
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil. FOTO Genes Gulitah
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mendedahkan pengalamannya terbabit dalam drama bersiri Gol & Gincu suatu ketika dulu membuka matanya terhadap apa yang berlaku di belakang tabir industri seni.

Menurutnya, dia mula berkenalan dengan ramai pengarah, penerbit dan pelakon dan seterusnya mula dijemput membuat persembahan teater dan kolaborasi dengan pengarah yang lain.

"Tapi waktu itu, bagi saya pengalaman yang membuka mata, macam mana susahnya nak jadi anak seni di Malaysia.

"Ramai kawan-kawan yang merasakan sampai ke hari ini yang nak masuk dalam bidang seni, bidang filem la katakan, ia tak mudah.

"Orang selalu anggap wow glamour. Ya memang betul ada glamour juga, tapi perit pun banyak. Jadi pengalaman saya waktu itu memang betul-betul membuka mata dan mendewasakan," katanya yang tampil sebagai tetamu program Bual Konti RTM, malam tadi.

Fahmi berkata, waktu itu dia mula bertekad untuk mencuba melakukan sesuatu tetapi belum nampak bagaimana caranya.

"Akhirnya 2010 saya bantu mantan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah sebagai setiausaha politik, masuk Parti Keadilan Rakyat (PKR). Masa yang sama masih buat teater. "Masih menulis untuk surat khabar, banyak terbabit dalam pelbagai bidang. Akhirnya tak tahu macam mana, jadi calon Lembah Pantai pada 2018," katanya.

Fahmi berkata, ibunya pernah bekerja di Angkasapuri, berkhidmat di bahagian perancangan.

"Dia di kementerian penerangan tahun 1987-1988 waktu arwah Tan Sri Mohamed Rahmat jadi Menteri. Saya ingat lagi waktu itu datang ke Angkasapuri, datang ke Wisma Berita, Wisma Radio, TV.

"Emak saya waktu di Kementerian Penerangan, dia nak tahu apa yang boleh ditambah baik. Dia jaga drama masa itu. Sampaikan dia dapat kebenaran daripada Ketua Setiausaha (KSU) untuk berlakon drama terbitan RTM," katanya.

Fahmi dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Digital sejak Disember tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2023 @ 4:48 PM