Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil bercakap ketika Tayangan CedokLife di TGV Sunway Pyramid. FOTO AZIAH AZMEE
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil bercakap ketika Tayangan CedokLife di TGV Sunway Pyramid. FOTO AZIAH AZMEE
Syafil Syazwan Jefri


Petaling Jaya: Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil sedang meneliti beberapa perkara termasuklah undang-undang bagi memastikan mana-mana platform penstriman dalam talian perlu menghasilkan sejumlah peratus daripada kandungan di negara ini.

Fahmi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia, Datuk Jurey Latiff Rosli di Facebook mengenai 'survival' penggiat industri kreatif yang semakin meruncing akibat kurang peluang pekerjaan.

"Saya ada bercakap dengannya (Jurey) dan isunya adalah berkaitan dengan beberapa program yang akan ditempah melalui sistem di RTM.

"Saya meneliti perkara ini. Memang kalau kita lihat harapan penerbit itu, ramai yang memohon tapi jumlah yang dapat mungkin tidak terlalu ramai. Ini antara lain, realiti bajet dan sebagainya.

"Pada masa sama, ada beberapa perkara yang saya dah minta pihak kementerian untuk teliti.

"Sebagai contoh, di beberapa negara lain sudah ada mula dibincangkan undang-undang bagi memastikan mana-mana platform penstriman dalam talian perlu menghasilkan sejumlah peratus daripada kandungan di negara itu," katanya Fahmi ketika ditemui di sidang media siri drama pendek #CedokLife hasil usahasama platform penstriman iQiyi dan Grab Malaysia yang mengangkat kisah kehidupan pemandu serta pekerja penghantaran Grab.

. Katanya, Australia sudah mula memberikan bayangan untuk meneruskan dengan undang-undang itu.

"Di sana, sedang dibincangkan perkara ini dan beberapa platform sudah ada bayangan, beberapa peratus daripada kandungan yang mereka tunjuk di negara itu wajib dihasilkan di Australia," katanya.

Menurut Fahmi, undang-undang baharu itu akan membuka lebih banyak peluang kepada penerbit dan industri perfileman tanpa perlu bergantung penuh kepada stesen-stesen TV saja.

"Kita sedang meneliti perkara ini kerana Insya-Allah ia dapat memberi peluang yang lebih banyak kepada penerbit dan industri filem kerana tidak hanya mengharapkan RTM dan beberapa saluran lain seperti Media Prima Berhad," katanya.

Jurey menerusi Facebook melakukan inisiatif awal dengan melancarkan Tabung Kutipan Anak Seni bagi mengutip sumbangan untuk diagihkan kepada anak-anak seni yang memerlukan bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2023 @ 9:34 PM