Datuk Awie, ketika Sidang Media dan Perlancaran Didi and friends The Movie. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Datuk Awie, ketika Sidang Media dan Perlancaran Didi and friends The Movie. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Penyanyi rock legenda, Datuk Awie menafikan dia terima tawaran terbabit dalam menjayakan filem animasi Didi & Friends The Movie kerana mendapat bayaran yang tinggi.

Menurut Awie atau nama sebenar Ahmad Azhar Othman, 54, dia terima tawaran untuk terbabit dalam projek filem animasi itu khusus buat anak keenamnya, Putra Ahmad Andeeka, 2 tahun.

"Saya ditawarkan penerbit buat filem animasi ini ketika isteri masih mengandung lagi.

"Ini kali kedua saya terbabit dalam projek filem animasi dan saya buat Didie & Friends The Movie ini khusus buat anak keenam saya, Andeeka, 2 tahun yang baru menyambut hari jadinya semalam," katanya kepada Harian Metro.

Awie ditemui pada majlis pelancaran Didi & Friends The Movie yang berlangsung di Panggung Asia, Jalan Gombak di sini, petang semalam.

Andeeka yang dilahirkan tanggal 18 Januari 2021 adalah anak keenam Awie hasil perkongsian hidupnya dengan isteri, Datin Sharifah Ladyana Syed Samsuddin, 35.

Berkongsi pengalaman terbabit dalam projek animasi Didi & Friends The Movie pula, kata Awie, pelbagai cabaran dihadapi ketika menyiapkan proses meminjamkan suaranya untuk filem itu.

"Bukan mudah untuk kami merealisasikan projek itu ketika pandemik Covid-19 melanda dan negara dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan ketika itu.

"Proses itu juga mengambil tempoh yang panjang iaitu selama setahun," katanya.

Ditanya dari segi watak pula, kata Awie dia meminjamkan suaranya untuk watak Tok Chip dalam filem animasi itu.

"Saya juga berusaha untuk menjiwai watak Tok Chip dengan hanya menggambarkan saja watak itu dari lukisan yang disediakan.

"Selain meminjamkan suara, saya juga perlu menyanyi untuk filem animasi ini," katanya.

Mengulas penampilan artis terkenal dalam projek filem animasi pula, kata Awie, jalan cerita Didi & Friends The Movie sudah memiliki tarikan tersendiri untuk menarik penonton.

"Insya-Allah, saya doakan filem ini berjaya kerana jalan ceritanya juga menarik. Penampilan artis pula untuk menyerikan filem animasi ini," katanya.

Filem muzikal 3D animasi pengembaraan Didi & Friends The Movie arahan Akmal Aziz Asmawi dan Roshfaizal Ariffin ini terbitan Warnakala Studios, Astro Shaw, Digital Durian dan MDeC.

Selain Awie, barisan artis yang turut terbabit dalam filem ini ialah Amelia Henderson, penyanyi rap Waris, dan artis veteran Ruminah Sidek.

Filem ini akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 23 Februari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 1:18 PM