Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Platform muzik dan hiburan popular Asia, Joox melancarkan lagu Jalan yang menampilkan 15 artis tempatan untuk memberi inspirasi kepada Malaysia.

Ketua Joox Malaysia, Angie Tan berkata, projek menampilkan gabungan artis senior dan baharu serta penampilan istimewa watak animasi Didi & Friends ini bertujuan membantu pemuzik tempatan sebagai sebahagian daripada Kempen #SUPPORTLOCAL JOOX.

"Pendapatan dari muat turun nada dering lagu Joox Originals ini akan disalurkan untuk membantu pemuzik tempatan yang bergelut di tengah-tengah pandemik Covid-19," katanya.

Seramai 15 artis terbabit ialah Faizal Tahir, Dayang Nurfaizah, Sufian Suhaimi, Aziz Harun, Luqman Faiz, Danial Chuer dan Fieya Julia.

Mereka turut disertai penyanyi baharu berbakat seperti Firdaus Rahmat, Daniesh Suffian, Aniq Iffat, Aisha Retno, Ajoi Zainal, Khodi, Haikal Farid, ERIN CTJ serta penampilan istimewa watak animasi kanak-kanak kesukaan ramai, Didi & Friends.

Mereka menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Industri Rakaman (RIM) di mana lagu yang boleh distrim secara eksklusif di Joox ini juga boleh dimuat turun sebagai nada dering.

"Hasil kutipan akan disumbangkan kepada dana kecemasan yang diuruskan oleh RIM untuk membantu pemuzik tempatan yang dalam kesusahan," katanya.

Antara penggiat seni yang pernah dibantu ialah Kid Search dan Mel.

Lagu Jalan dicipta Faizal Tahir dengan bantuan penyanyi, Aziz Harun.

Faizal yang sudah beberapa kali bekerjasama dengan Joox berkata, projek lagu Jalan dianggap berbeza dan unik kerana memberi satu mesej dan impak positif kepada rakyat Malaysia.

"Penghasilan lagunya tidak mengambil masa yang begitu lama. Cabaran utamanya adalah dalam memilih artis terbabit dan untuk mendapat semuanya hadir ke studio untuk sesi rakaman kerana keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada ketika itu.

"Walaupun begitu semua artis memberikan komitmen dan vokal yang cukup baik untuk menghidupkan lagu ini," katanya.

Jalan boleh distrim bermula hari ini, manakala muzik video pula akan dilancarkan pada 24 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 8:45 PM