SYAFIQ Yusof bercakap ketika sidang media Special Force: Anarchy di Hotel EQ. FOTO Aziah Azmee
SYAFIQ Yusof bercakap ketika sidang media Special Force: Anarchy di Hotel EQ. FOTO Aziah Azmee

Kuala Lumpur: Pengarah, Syafiq Yusof menegaskan pengkritik filem popular, Zhaf atau Zhafvlog tidak boleh dibeli dengan wang mahupun jiwa untuk memberikan kritikan positif terhadap sesuatu filem.

Syafiq berkata demikian bagi menjawab komen netizen di Twitter yang mencadangkan Syafiq 'membayar' Zhaf untuk memberi kritikan positif untuk karyanya.

Ini berikutan Zhaf memberikan 'rating' 1/5 untuk siri terbaru arahan Syafiq iaitu Special Force : Anarchy yang sedang ditayangkan.

"Zhaf tak boleh dibeli, tak boleh dibeli dengan duit mahupun dengan jiwa. Semua orang industri tahu perkara ini. Itu satu benda yang aku hormat dengan dia, tak boleh dinafikan," tulis Syafiq.

Terdahulu, Syafiq meluahkan di Twitter bahawa dia tidak menyangka Zhaf akan memberikan kadar 1/5 'najis' untuk Special Force : Anarchy.

"Jujur aku tak sangka orang yang boleh 'rate' Mat Kilau 5/5 bintang, boleh 'rate' karya aku kali ni 1/5 's***'! Serendah itu Zhaf? Tak apa, aku terima ulasan kau dengan hati yang terbuka. Lain orang, lain cita rasa. Terima kasih hadir tayangan perdana episod pertama Special Force Anarchy," tulisnya.

Syafiq kemudiannya memadam ciapan itu dan memuat naik ciapan permohonan maaf, sekali gus akan berusaha memperbaiki kesilapan dalam karya-karyanya di masa akan datang.

"Aku memang sepatutnya terima segala kritikan terhadap karya aku. Akan terus perbaiki kesilapan-kesilapan dalam karya di masa akan datang. Maaf semua," tulisnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2023 @ 4:53 PM