AYU tampil dengan single Kejam selepas dua tahun berdepan cabaran untuk menyiapkannya.
AYU tampil dengan single Kejam selepas dua tahun berdepan cabaran untuk menyiapkannya.
Najiy Jefri


Penyanyi Ayu Damit meluahkan rasa syukur apabila single Kejam berjaya dilancarkan selepas hampir dua tahun berdepan pelbagai ujian untuk menyiapkan lagu terbaharunya itu.

Tampil mempertaruhkan genre balada, Ayu kali ini menggunakan khidmat komposer muda iaitu Khairul Daniel, manakala liriknya ditulis sendiri oleh Ayu bersama Slen serta Jay.

Ayu berkata, dia tidak menyangka apabila terpaksa mengambil masa yang terlalu lama untuk menyiapkan single Kejam.

"Alhamdulillah, penantian selama dua tahun akhirnya berbaloi dengan terlahirnya single Kejam ini. Pelbagai rintangan terpaksa dihadapi bagi menyiapkan lagu ini, tetapi saya akur dan menganggap apa yang berlaku adalah ketentuan-Nya kerana kita hanya mampu merancang dan Tuhan yang menentukan segalanya," katanya.

Bercerita mengenai perjalanan seni Ayu yang bermula selepas menjuarai pertandingan One In A Million musim ke-2 pada tahun 2008 sehingga dinobatkan pemenang kategori Vokal Terbaik (Wanita) di Anugerah Industri Muzik (AIM) pada tahun sama, Ayu mengaku kerjaya seninya ada pasang surut.

"Selepas beberapa tahun berada dalam industri seni, kerjaya seni saya ada kalanya naik dan turun disebabkan beberapa faktor dan rezeki dalam bidang seni seakan-akan tidak menyebelahi saya sehinggalah saya membuat keputusan untuk fokus terhadap keluarga dan juga perniagaan yang saya usahakan bersama suami.

"Kemudian, pada 2020 saya ditawarkan untuk menyertai Gegar Vaganza musim ke-7 dan berjaya memperoleh tempat ketiga, dan dari situlah saya mula konsisten untuk kembali aktif menyanyi dan mengembangkan lagi bakat," katanya.

Tambah penuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dalam Ijazah Sarjana Muda jurusan Vokal Klasikal ini, dia juga harus berterima kasih kepada suami tercinta, Syed Fauzi Syed Baharuddin yang sentiasa menyokong setiap langkah yang ingin dibuat.

"Suami sanggup mengeluarkan modal sendiri dan tidak mengharapkan mana-mana tajaan kerana terlalu serik dengan pengalaman lalu.

"Jadi saya bertemu dan berbincang dengan komposer bernama Khairul Daniel dan memaklumkan lagu yang ingin saya tampilkan. Syukur dia juga faham kehendak serta cita rasa saya.

"Selepas melalui beberapa proses perbincangan kami ke studio bagi memulakan proses rakaman lagu Kejam ini.

"Bayangkan proses untuk menyiapkan lagu ini bermula dari bulan Februari sehingga Oktober tahun lalu kerana banyak perkara terpaksa saya uruskan sendiri dengan tunjuk ajar komposer yang banyak membantu," katanya.

Menurut Ayu, single Kejam menceritakan perhubungan yang bertepuk sebelah tangan.

"Lagu ini sebenarnya mengisahkan sepasang kekasih yang mengharapkan cinta namun tidak balas dan tiada kata putus sehingga perbuatan kekasihnya itu disifarkan sebagai 'kejam' kerana diabaikan.

"Saya sengaja memilih genre balada kerana mahu menonjolkan kemampuan vokal saya dalam sisi berbeza dengan sentuhan melodi ala 90-an namun tetap kedengaran segar dan baharu.

"Saya berharap lagu Kejam ini mendapat sambutan dan boleh diterima semua pendengar dan penggemar muzik tempatan. Insya Allah saya akan keluarkan lebih banyak lagi lagu bermutu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 6:45 AM