Ayu Damit
Ayu Damit
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi Ayu Damit yang tampil dengan single terbarunya Kejam, menafikan lagu terbabit berkaitan dengan kisah rumah tangga pasangan Syamsul Yusuf dan Puteri Sarah.

Ayu berkata, perkara ini berlaku secara kebetulan apabila lagu ini dikeluarkan ketika isu kontroversi terbabit sedang hangat diperkatakan.

"Memang betul lagu ini dianggap ada kaitan dengan keadaan dan cerita rumah tangga mereka. Ramai peminat menulis mengenainya di YouTube muzik video rasmi Alternate Records & Talents.

"Pada saya ia hanyalah secara kebetulan dan tiada kena mengena dengan sesiapa. Cuma isinya berkaitan dengan perasaan yang disakiti.

"Ia adalah gabungan ilham rasa penciptanya Khairul Daniel, manakala liriknya ditulis sendiri oleh saya bersama Slen serta Jay," katanya kepada Harian Metro.

Lagu genre balada ini mula dikeluarkan pada 6 Januari lalu selepas hampir dua tahun Ayu berdepan pelbagai ujian untuk menyiapkannya.

Setakat ini lagu Kejam sudah ditonton oleh 3,000 peminat dan Ayu berharap tontonan akan terus meningkat dari masa ke semasa.

"Untuk promosi memang agak sedikit terlewat kerana saya sedang terbabit dalam peperiksaan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dalam Ijazah Sarjana Muda jurusan Vokal Klasikal.

"Jadi pergerakan saya agak terbatas setakat ini. Insya Allah saya tengah susun balik jadual untuk promosi lagu ini kepada peminat nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2023 @ 4:22 PM